Haram jualan sirip yu bukan jalan penyelesaian, kata pengusaha pelancongan


KOTA KINABALU: Mengharamkan jualan sirip yu semata-mata bukan jalan penyelesaian, kata seorang pengusaha pelancongan.

“Apa yang kita perlukan ialah kawasan perlindungan yu atau jerung di beberapa bahagian Sabah dengan penglibatan semua pihak.

“Ini termasuk nelayan yang bergantung pada menangkap yu untuk menghasilkan makanan di atas meja,” kata penasihat aktiviti menyelam Pelancongan Malaysia Clement Lee.

Beliau berkata pendekatan pendidikan jangka panjang adalah penting dalam usaha hendak menghentikan pembunuhan yu, selain beberapa inisiatif lagi.

Ini termasuk meyakinkan kerajaan persekutuan agar mengecualikan yu dari lesen yang membenarkan nelayan menangkap hidupan laut itu dari apa juga spesies.

“Nilai dan pendapatan yang terhasil dari yu yang dipelihara untuk hidup jauh lebih besar mengatasi perbuatan membunuhnya bagi mendapatkan sirip dan daging,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Persatuan Perlindungan Yu Sabah, Sabtu.

Lee berkata penyelam sering teruja bila berpeluang melihat yu atau jerung dalam persekitaran semula jadi, seperti kumpulan jerung ‘Hammerhead’ di Sipadan dan ini menjana pendapatan, dan pekerjaan.

“Bila yu dipotong, nilainya kecil saja. Dalam hal jerung, langsung tiada nilai oleh kerana orang tidak makan dagingnya.

“Nilainya ialah pada melihatnya hidup-hidup,” ujar beliau.

Lee berkata, berasaskan pengalaman menyelamnya lebih 30 tahun, bilangan yu dan jerung kini merosot termasuk di perairan berdekatan Pulau Mantanani di Kota Belud. Baru-baru ini, Persatuan Agen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa orang ramai memulaukan restoran yang menawarkan sirip yu dalam menu mereka.

Ia berkata yu dan jerung menarik kedatangan 55,000 penyelam ke Sabah dan menjana hasil ekonomi RM323 juta.

Facebook Comments