Topik Pilihan Hari Ini. 16 Mac 2017


1. KANAK-KANAK 2 TAHUN MATI DIDERA AKIBAT CABUL

Tiga individu termasuk ibu kepada kanak-kanak berusia 2 tahun 5 bulan yang mati dipercayai akibat penderaan direman selama tujuh hari.

Menurut ketua Polis Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din ketiga-tiga mereka yang merupakan ibu mangsa, teman lelaki ibu mangsa dan suami kepada pengasuh kanak kanak berkenaan telah ditahan di kediaman mereka di blok A-18-17, Apartment Impian Baiduri, Petaling Jaya semalam. Hasil bedah siasat yang telah dijalankan ke atas mangsa mendapati terdapat kecederaan parah di bahagian perut akibat hentaman kuat dengan objek tumpul. – ASTROAWANI

2. PENGANGGUR DIDAKWA LAKUKAN PENGUBAHAN WANG HARAM RM2.8 JUTA

Seorang penganggur hari ini didakwa di dua Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM2.8 juta pada 2014 dan 2015. Tertuduh, Zulhilmi Mat Nayan@Ahmad, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima RM50,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti pengubahan wang ke dalam akaunnya pada 30 Jan 2015. Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima sejumlah RM1,896,486.90 yang merupakan hasil aktiviti sama ke dalam akaunnya di bank sama antara 30 Okt 2014 dan 28 Dis 2014. Bagi pertuduhan ketiga Zulhilmi juga didakwa menerima sebanyak RM195,000 hasil aktiviti sama menerusi akaun di bank sama pada 30 Dis 2014 dan untuk pertuduhan keempat dia dituduh menerima RM222,100 juga daripada aktiviti sama menerusi akaun di RHB Bank di sini pada 5 Nov 2014.

Zulhilmi kemudian dibawa ke Mahkamah Sesyen 5 di mana dia menghadapi tiga lagi pertuduhan. Bagi pertuduhan pertama dia didakwa menerima RM290,000 yang merupakan hasil aktiviti pengubahan wang secara haram ke dalam akaun miliknya pada 29 Dis 2014. Untuk pertuduhan kedua dia didakwa menerima RM60,000 juga hasil aktiviti sama antara 15 Nov 2014 hingga 26 Dis tahun sama, manakala bagi pertuduhan ketiga Zulhilmi didakwa menerima sebanyak RM102,749.90 bagi aktiviti tersebut pada 15 Jan 2015 hingga 26 Jan tahun sama. — Bernama

3. POLIS BANTUAN DIPENJARA, DENDA RM15,000 KERANA MENYAMAR, MINTA WANG

Gara-gara meminta wang RM3,000 daripada seorang kontraktor dua tahun lepas, seorang polis bantuan hari ini dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen.

Hakim menjatuhkan hukuman itu selepas Zakaria Kepol, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu ketika menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa meminta wang tunai itu sebagai balasan untuk tidak mengganggu kerja-kerja pembinaan yang dijalankan kontraktor berkenaan di tapak projek perumahan di Presint 11, Putrajaya antara 26 Nov 2015 dan 7 Dis 2015 lalu. – BERNAMA

4. LUKISAN 3 TAHUN DIJUAL RM12,000

Karya ‘I Just Want to Scream’ yang mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan menjadi lukisan pertama terjual pada pameran lukisan solo Suhaidi Razi di Galeri Prima, Anjung Riong, Balai Berita The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Bangsar.

Pelukis tempatan yang membina kerjaya profesional sebagai pensyarah Fakulti Seni Halus, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Suhaidi Razi, berkata lukisan itu besar maknanya buat beliau kerana memiliki nilai seni dan estetika tinggi.

Katanya, tema lukisan berkenaan menggabungkan pelbagai unsur kehidupan seperti manusia, haiwan, peralatan dan objek yang memiliki maksud tersirat dan bersifat melankolik yang mempunyai cerita dalam cerita.

Suhaidi yang enggan mendedahkan identiti pembeli lukisan yang dijual pada harga RM12,000 itu. Beliau ditemui pada majlis pelancaran Pameran Solo Suhaidi Razi bertemakan Paradox hari ini. Pameran Solo Suhaidi Razi diadakan sejak 6 Mac lalu hingga 5 April ini. – BHARIAN

PENULIS | SAFWAN SAADON
EDITOR | JEN CHEONG

[4799576]

Facebook Comments