Kayalvhily ‘panah’ 7A


Georgetown: Atlet sukan memanah Pulau Pinang gembira meraikan kejayaannya meraih 7A, 1B dan 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 walaupun terbabit dengan latihan Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun yang sama.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Puan Habsah, P Kayalvhily, 18, berkata, dia tidak menyangka dengan keputusan terbabit kerana kurang yakin dengan pembahagian masa antara pelajaran dan latihan memanah.

Katanya, dia percaya dengan memberi tumpuan semasa di dalam kelas menjadi faktor utama mendapat keputusan baik itu.

“Ramai mengganggap aktiviti sukan akan mengurangkan tumpuan semasa belajar, tetapi memanah banyak membantu saya untuk fokus terhadap sesuatu perkara.

“Sejak tingkatan satu, saya adalah pelajar tercorot tetapi saya percaya usaha yang lebih mampu mengubah nasib dalam akademik dan sukan,” katanya yang mahu melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang sukan.

(myMetro)

[4798919]

Facebook Comments