Mayat Jong-nam: Kementerian Kesihatan tunggu arahan

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, ketika hadir di majlis perasmian Forum Penjagaan Kesihatan 2017 di Hotel Istana, Kuala Lumpur. – Foto Shahril Badli

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menunggu isyarat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar mengenai tindakan selanjutnya yang akan dilakukan terhadap pengurusan mayat Kim Jong-nam.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata keputusan sama ada mengebumikan mayat si mati (Jong-nam) mengikut kehendak waris atau diserahkan untuk dikebumikan di negara ini akan ditentukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.

“Kalau secara rasmi, kementerian belum ada apa-apa maklumat mengenai kehendak waris bagaimana cara menguruskan mayat Jong-nam.

“Sekiranya KDN secara rasmi memberitahu kementerian ini adalah mesej daripada saudara-mara atau keluarga Jong-nam dan kedua-dua kementerian berpuas hati bahawa ia mesej sebenar daripada waris, kita boleh ambil tindakan lanjut,” katanya selepas merasmikan Forum Penjagaan Kesihatan 2017, di sini, sebentar tadi.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bahawa waris Kim Jong-nam membenarkan Malaysia membuat keputusan terhadap pengurusan mayat abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Sementara itu, ketika mengulas prosedur mayat yang tidak dituntut di negara ini, Subramaniam berkata kementerian mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) menguruskan mayat mengikut kebudayaan dan agama sekiranya simati adalah warga negara Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kes pengurusan mayat Kim Jong-nam adalah berbeza kerana membabitkan isu lain seperti hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Kita kena ambil maklumat yang penuh dari waris apa kehendak mereka dalam menguruskan mayat simati dan kemudian kita boleh bertindak mengikut respon mereka,” katanya.

(BHONLINE)

[4798926]

Facebook Comments