3 individu kes bot karam hadapi 11 tuduhan

PEMILIK syarikat pelancongan, Chung Ket Siew (kiri) dan pengurus, Leong Vin Jee hadir di Mahkamah Pelancongan Kota Kinabalu berikutan kes bot karam diperairan Pulau Mengalum, Kota Kinabalu Januari lalu. – Foto Olivia Miwil

KOTA KINABALU: Pemilik, pengurus dan juragan bot katamaran yang karam di perairan Pulau Mengalum dekat sini, Januari lalu, berdepan 11 tuduhan membabitkan pelbagai kesalahan selepas dihadapkan di Mahkamah Pelancongan, di sini, hari ini.

Pemilik syarikat, Chung Ket Siew, 63; didakwa mengikut Seksyen 304A dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan membahayakan keselamatan penumpang, selain Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Pelabuhan, Dermaga dan Cukai Sabah) 2008 kerana menggunakan jeti tidak diwartakan.

Ket Siew dan seorang lagi tertuduh yang juga anaknya iaitu pengurus syarikat Golden Sailing Travel Tour and Car Rental Sdn Bhd, Leong Vin Jee, 44, didakwa secara bersama mengikut Peraturan Sembilan, Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Pelesenan Kapal Kecil Sabah) 2008 kerana gagal mempamerkan lesen di atas bot.

Vin Jee juga berdepan tuduhan mengikut Seksyen 304A dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan serta Seksyen 282 Kanun Keseksaan kerana membawa penumpang dengan pengangkutan air yang tidak selamat.

Seorang lagi tertuduh yang juga juragan bot, Sharezza Salian, 26, juga didakwa mengikut Seksyen 304A dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

Sharezza dan Vin Jee berdepan dua lagi pertuduhan secara bersama iaitu mengikut Peraturan 13 dan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Pelabuhan, Dermaga dan Cukai Sabah) 2008 kerana menggunakan jeti yang tidak diwartakan dan gagal menyediakan kelengkapan keselamatan dalam bot.

Mereka mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Salim.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 hingga 16 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 30 Mac ini.

Ketiga-tiga tertuduh dikenakan jaminan RM16,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, selain diperintah menyerahkan pasport dan melapor diri di Balai Polis Tanjung Aru serta Pulau Gaya pada Jumaat pertama dan ketiga setiap bulan.

Bagaimanapun, tertuduh ketiga iaitu Sharezza, yang kini menjalani hukuman penjara enam bulan selepas mengaku salah membawa penumpang dengan pengangkutan air yang tidak selamat ketika dihadapkan di mahkamah bulan lalu, hanya perlu melaporkan diri di Balai Polis Pulau Gaya selepas dibebaskan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa menyebabkan kematian empat pelancong warga China iaitu He Runyuan, 46; Wang Jian Yi, 38; Xie Luo, 49; dan Zhang Xiau Kun, 27, selain membahayakan 28 pelancong China kerana memuatkan mereka dalam bot katamaran hingga melebihi muatan ketika ke Pulau Mengalum, 28 Januari lalu.

Ketika kejadian, bot katamaran yang membawa 31 orang termasuk 28 pelancong China karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum menyebabkan empat maut, manakala lima masih hilang.

(BHONLINE)

[4798936]

Facebook Comments