Berbalaoi usaha dua tahun


Nilai: Pelajar Kolej Tunku Kursiah (TKC), Natasya Qisty Mohd Ridzuan, 18, menganggap kejayaannya mendapat keputusan 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah hasil usaha kerasnya selama dua tahun.

Natasya antara 62 pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) itu yang mendapat semua A dalam mata pelajaran daripada 151 calon yang mengambil SPM tahun lalu.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, dia belajar secara konsisten dan bersungguh-sungguh sejak di tingkatan empat lagi.

“Saya memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas dan mengulangkaji pelajaran selepas habis kelas. Saya juga terus bertanya guru dan rakan jika ada subjek yang tidak difahami.

“Cara itu saya lakukan supaya tidak ketinggalan. Saya akui lemah dalam mata pelajaran sejarah dan Bahasa Melayu, jadi saya lebihkan masa mengulangkaji dua subjek itu sebelum mengambil SPM,” katanya ketika ditemui selepas mengambil keputusan itu di TKC, di sini, hari ini.

Katanya, dia berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang sains hayat di Universiti Malaya (UM) selepas ini.

Sementara itu, ibunya Norliza Zulkifli, 49, berkata beliau meletakkan kepercayaan sepenuhnya dan tidak pernah memberi tekanan kepada anaknya itu untuk belajar.

Norliza yang juga Penasihat Undang-Undang Kementerian Kerja Raya berkata, beliau sentiasa berdoa dan memberi sokongan moral terhadap anaknya itu, selama ini.

TKC diumumkan sebagai sekolah terbaik di Negeri Sembilan dan SBP terbaik di seluruh Malaysia.

(myMetro)

[4798924]

Facebook Comments