‘Muhyidddin perlu beri hak pengundi Pagoh sokong Akta 355’


Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah) 1965 bukan lagi tuntutan PAS sebaliknya kini menjadi tuntutan masyarakat Islam, kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab Anggota Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan hak kepada pengundi di kawasannya untuk menyokong RUU itu.

“RUU 355 bukan lagi tuntutan PAS tetapi tuntutan masyarakat Islam. Muhyiddin perlu berikan hak kepada pengundi Islam di kawasan parlimen beliau yang menuntut RUU 355 di sokong,” katanya kepada Malaysiakini.

Khairuddin diminta mengulas kenyataan Muhyiddin yang menafikan telah bersetuju dengan RUU 355.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan sebagai berkata kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa beliau pada dasarnya bersetuju dengan usaha parti itu untuk meminda Akta 355, tidak tepat.

Kata Muhyiddin sehingga kini, beliau sebagai anggota parlimen Pagoh, masih tidak tahu kedudukan akhir pindaan yang dicadangkan dan justeru sukar membuat keputusan.

Mengulas lanjut, Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus berkata menjelang pilihan raya umum akan datang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diterajui Muhyiddin juga memerlukan sokongan PAS.

Namun, Khairuddin berkata ia adalah hak bekas timbalan perdana menteri itu untuk membuat pilihan.

“Dia juga perlu berfikir untuk dapatkan sokongan PAS di parlimen Pagoh nanti pada PRU ke 14.

“Itu hak beliau untuk membuat pilihan terkini. PAS akan terus mengajak semua ahli parlimen Islam dan bukan Islam untuk menyokong RUU 355. Jika BERSATU mahu berunding dengan PAS kena mulakan dengan persetujuan atas agenda RUU 355,” kata Khairuddin.

Kerusi Parlimen Pagoh disandang oleh Muhyiddin sebelum ini atas tiket BN.

Kawasan tersebut mempunyai 40,604 pengundi berdaftar, 60.05 peratus atau 24,384 orang pengundi Melayu, 14,290 atau 35.19 peratus pengundi Cina dan 1,929 (4.75 peratus) pengundi India. Ia juga merupakan kubu kuat BN sejak dari dahulu lagi.

(Malaysiakini)

[4798911]

Facebook Comments