Anak buruh raih 9A

DARI kiri, Pelajar Sekolah, Muhammad Syauqi Md Sham, Amirul Asyraf Azman, Muhammad Said Ramadhan Mohamad Hafiz, Muhammad Khairul Izzat Muhammad Hapidan, Amilin Sakina Amir, Nornatasha Mohammad Rosli dan Nur Aqilah Md Zubir masing-masing berumur 18 tahun yang mendapat keseluruhan A dalam mata pelajaran dengan keputusan cemerlang pada Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka. – Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: “Bapa dan ibu saya bukan orang berada. Ibu bekerja sebagai guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan bapa pula bekerja sebagai buruh am.

“Ia menjadi tanggungjawab saya untuk membalas budi kedua-dua mereka, selain mahu mengubah nasib keluarga,” Muhammad Syauqi Md Sham, 18, yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, hari ini.

Muhammad Syauqi yang berasal dari Bukit Senggeh memperoleh 9A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik, Bahasa Arab, Perdagangan, Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah.

Pelajar Sekolah Menengah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Assyakirin, Selandar, Jasin itu berkata, kejayaannya disandarkan kepada azam untuk terus cemerlang dalam setiap bidang diceburi, terutama pelajaran yang bakal mengubah kehidupan keluarganya pada masa depan.

“Apabila terbayangkan kesusahan bapa, Md Sham Minhat, 53, mendorong saya untuk terus belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasih keluarga ke arah yang lebih baik.

“Saya berharap dapat meneruskan kecemerlangan ini dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula menjelang Oktober depan,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah.

Sementara itu, ibu Muhammad Syauqi, Rohani Mohd, 51, bersyukur dan berbangga dengan kejayaan anak bongsu daripada tiga beradik itu.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Muhammad Syauqi kerana menunaikan janjinya untuk membuktikan kepada kami sekeluarga yang anak buruh am mampu bersaing dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Dia berjanji kepada kami sekeluarga untuk buktikan dia boleh mencapai kejayaan dalam SPM dan dia menunaikan janjinya,” katanya.

(BHONLINE)

[4798852]

Facebook Comments