57,686 calon isi jawatan sektor awam

DATUK Joseph Entulu Belaun. – Foto Afendi Mohamed

AYER KEROH: Seramai 57,686 daripada 101,564 calon yang menghadiri temu duga menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berjaya dilantik secara tetap dan kontrak dalam perkhidmatan awam, tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun, berkata suruhanjaya itu menerima sebanyak 1.56 juta permohonan.

“Daripada jumlah itu, seramai 164,944 calon dipanggil menghadiri temu duga membabitkan pelbagai jawatan di kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

“Antara jabatan terbabit ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penerangan,” katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Outreach SPA 2017 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Seramai 598,342 individu memohon jawatan dalam perkhidmatan awam bermula 1 Januari hingga 2 Februari lalu dan daripada jumlah itu, 540 daripadanya dipanggil untuk sesi temu duga dengan 68 calon dilantik dalam pelbagai jenis jawatan.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Pengerusi SPA, Tan Sri Arpah Abdul Razak.

Entulu berkata, dianggarkan seramai kira-kira 200,000 graduan peringkat Diploma menamatkan pengajian setiap tahun, namun tawaran peluang pekerjaan yang disediakan hanya berjumlah antara 60,000 hingga 80,000.

“Angka pemohon juga bertambah setiap tahun,” katanya.

(BHONLINE)

[4798831]

Facebook Comments