Najib Terima Kunjungan Hormat Timbalan Perdana Menteri Somalia


KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Somalia Mohamed Omer Arteh, yang kini dalam lawatan sulungnya ke Malaysia.

Pertemuan itu, yang bermula 8.45 pagi, berakhir kira-kira 20 minit kemudian, dengan kedua-dua pemimpin mengambil kesempatan itu untuk membincangkan pelbagai isu semasa.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mohamed Omer melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih beliau kepada Najib atas kesudiannya meluangkan masa untuk bertemu beliau dan Malaysia pada umumnya atas sumbangan kepada Somalia.

“Atas kemurahan hati yang ditunjukkan kepada kami, saya benar-benar berterima kasih kepada beliau (Najib) untuk itu, dan terima kasih juga kepada organisasi-organisasi di negara ini yang telah memberi sumbangan kepada Somalia.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas kesudian menerima pelajar Somalia di sini dan juga kerajaan Malaysia kerana memberi sokongan dan segala-galanya yang diperlukan mereka (pelajar) di sini,” katanya.

Mohamed Omer kini dalam lawatan kerja ke Malaysia dari 9 Mac hingga hari ini. Lawatan ini merupakan kali pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Somalia pada Februari 2015.

Semalam, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di bangunan Parlimen di sini.

Berikutan pertemuan dengan Ahmad Zahid, Pejabat Timbalan Perdana Menteri mengeluarkan satu kenyataan yang menunjukkan bahawa Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan seperti makanan dan ubat-ubatan ke Somalia melalui badan bukan kerajaan dan parti politik di negara ini.

Malaysia juga bersedia bekerjasama dengan Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam membantu Somalia menangani krisis makanan berikutan masalah kemarau di negara itu sejak tiga tahun lalu.

Selain itu, Malaysia juga mempertimbangkan untuk menyediakan bantuan kredit mikro kepada golongan miskin tegar dan berpendapatan rendah di negara itu, menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4798825]

Facebook Comments