Pencipta Logo Bangga, Bernama Maju Dengan Jenama Yang Teguh


Pencipta logo Bernama, Shahnan Abdullah menunjukkan logo Bernama yang dihasilkan ketika temu bual khas bersama Bernama di kediamannya baru-baru ini.Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail dan Nik Nur Izzatul Hazwani Nik Adnan

KUALA LUMPUR (Bernama) — Kemajuan yang dicapai agensi berita Bernama, yang akan menyambut ulang tahun ke-50 pada Mei ini sentiasa mendapat tempat istimewa di hati Shahnan Abdullah.

Setiap kali beliau melewati Jalan Tun Razak dan ternampak huruf ‘B’ logo Bernama pada bumbung Wisma Bernama, terdetik rasa bangga dengan agensi berita ini yang telah berkembang maju di peringkat nasional dan antarabangsa.

Bagi Shahnan, nilai sentimetal terhadap Bernama tidak dapat dipisahkan kerana logo ‘B’ dan di bawahnya perkataan BERNAMA, yang beliau cipta 42 tahun dulu masih menjadi identiti jenama agensi berita ini hingga ke hari ini.

Menceritakan bagaimana beliau mereka-cipta logo itu, bekas pereka grafik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu berkata beliau tidak sama sekali menyangka idea spontan melipat pita teleprinter berbentuk seakan-akan huruf B untuk pertandingan ciptaan logo Bernama, telah terpilih sebagai pemenang.

Shahnan, yang bakal menginjak usia 80 tahun pada 17 April ini, berkata beliau dimaklumkan mengenai pertandingan itu ketika berbual dengan rakan-rakannya dan kebetulan pula Bernama pada ketika itu menggunakan teleprinter untuk menghantar berita.

Kata-kata rakannya itu memberi ilham kepada beliau, lantas beliau meminta jurutaip menaipkan perkataan ‘Bernama’ sebanyak tiga kali menggunakan pita teleprinter.

“Kebetulan di pejabat DBP pada masa itu, ada mesin teleprinter. Jadi saya minta kerani taipkan perkataan ‘Bernama Bernama Bernama’ untuk saya gunakan bagi mencipta logo,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di kediamannya di Petaling Jaya di sini.

Pita teleprinter berwarna putih itu kemudian dilipat membentuk huruf B, dan dilekatkan di atas sekeping kertas berwarna hitam sebelum dihantar segera ke Bernama seminggu sebelum tarikh tutup iaitu pada 30 April 1975.

Logo baharu itu kemudian menjadi sejarah menggantikan logo lama iaitu perkataan ‘Bernama’ berwarna jingga, yang digunakan agensi berita itu sejak awal operasinya.

Shahnan meraih hadiah RM1,000 sebagai pemenang pertama dalam pertandingan mencipta logo Bernama itu yang menarik 264 penyertaan.

Beliau berkata logo yang digunakan sekarang telah beliau ubah suai mengikut kehendak Pengurus Besar BERNAMA ketika itu Allahyarham Tan Sri Dol Ramli, termasuk menggunakan warna biru sebagai warna latar bagi melahirkan semangat bersatu-padu dalam agensi berita ini.

“Pihak Bernama meminta saya melakukan lakaran akhir dengan memasukkan perkataan BERNAMA di bawah logo berbentuk ‘B’ dan Pengurus Besar Bernama pada ketika itu, Dol Ramli (kemudian Tan Sri) menyarankan warna biru dipilih sebagai warna latar menggantikan warna hitam. Saya pun setuju sebab nampak warna itu lembut, sesuai,” katanya.

“Saya terharu kerana walaupun dengan kepesatan teknologi dan macam-macam perubahan yang dilalui Bernama serta warga yang telah silih berganti, namun logo yang digunakan tetap tidak berubah,” katanya.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab telah mengambil inisiatif menjadikan ruang menunggu di tingkat satu Wisma Bernama sebagai galeri pameran-peralatan lama yang digunakan wartawan, seiring peredaran zaman seperti mesin teleprinter, mesin taip, alat perakam suara dan telefon.

Mengakui yang Bernama sentiasa dekat di hatinya, Shahnan berkata beliau sering mengikuti perkembangan agensi berita ini yang begitu beliau hormati sebagai penyalur berita utama negara.

“Saya harap Bernama akan terus kekal menjadi sebuah agensi berita yang penting dan dipercayai di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4798809]

Facebook Comments