Penganggur didakwa lakukan pengubahan wang haram RM2.8 juta 


ALOR SETAR, 16 Mac: Seorang penganggur hari ini didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM2.8 juta pada 2014 dan 2015.

Di Mahkamah Sesyen 4, Zulhilmi Mat Nayan@Ahmad, 34, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima RM50,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti pengubahan wang ke dalam akaunnya di Malayan Banking Berhad di sini pada 30 Jan 2015.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima sejumlah RM1,896,486.90 yang merupakan hasil aktiviti sama ke dalam akaunnya di bank sama antara 30 Okt 2014 dan 28 Dis 2014.

Bagi pertuduhan ketiga Zulhilmi juga didakwa menerima sebanyak RM195,000 hasil aktiviti sama menerusi akaun di bank sama pada 30 Dis 2014 dan untuk pertuduhan keempat dia dituduh menerima RM222,100 juga daripada aktiviti sama menerusi akaun di RHB Bank di sini pada 5 Nov 2014.

Zulhilmi kemudian dibawa ke Mahkamah Sesyen 5 di sini di mana dia menghadapi tiga lagi pertuduhan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zuhazmi Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa menerima RM290,000 yang merupakan hasil aktiviti pengubahan wang secara haram ke dalam akaun miliknya di Malayan Banking Berhad di sini pada 29 Dis 2014.

Untuk pertuduhan kedua dia didakwa menerima RM60,000 juga hasil aktiviti sama menerusi akaun di CIMB Bank Berhad antara 15 Nov 2014 hingga 26 Dis tahun sama, manakala bagi pertuduhan ketiga Zulhilmi didakwa menerima sebanyak RM102,749.90 bagi aktiviti tersebut melalui akaun Public Bank Berhad di sini pada 15 Jan 2015 hingga 26 Jan tahun sama.

Kesemua tujuh pertuduhan itu dibuat di bawah Subseskyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Setiap pertuduhan membawa hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

Kedua-dua mahkamah membenarkan ikat jamin masing-masing RM10,000 dan RM6,000 serta membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk disebut semula bersama-sama tiga lagi pertuduhan di mahkamah itu pada 3 Mei ini.

Kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin dan tertuduh diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh.

— Bernama

(The Malaysian Times)

[4798813]

Facebook Comments