Konsert Salman Khan janji tak terlampau seksi




Berbicara tentang hiburan Bollywood, pasti perkara pertama terlintas di fikiran adalah gerakan tarian, alunan muzik mengasyikkan dan pakaian seksi yang berwarna warni.

Bagaimanapun, untuk Konsert Jelajah Da Bangg 2017 Salman Khan Live in Malaysia, penganjur memberi jaminan barisan artis yang membuat persembahan akan menghormati garis panduan ditetapkan.

“Yang kita biasa lihat pakaian menjolok mata itu hanya berlaku dalam filem tetapi lain pula halnya di atas pentas.

“Kami sudah maklumkan hal ini kepada barisan artis terutama Bipasha Pasu dan Salman Khan mengenai sensitiviti di negara ini yang perlu dijaga,” kata Pengarah Urusan GHC Solutions Sdn Bhd Datuk Geethanjali G.

Geethanjali ditemui pada sidang media pengumuman konsert berkenaan yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Selain Bipasha dan Salman, konsert itu akan turut dijayakan oleh gabungan bintang popular dari Utara dan Selatan India seperti Prabhu Deva, Tamannah, Badshah, Manish Paul dan Daisy Shah.

Da Banng yang dijadual berlangsung pada 14 April di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines dibawakan GHC bersempena meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60 tahun ini.

Peminat boleh melepaskan rindu untuk menyaksikan aksi aktor pujaan mereka Salman yang buat julung kalinya hadir di pentas anjuran tempatan yang menelan belanja hampir RM 10 juta.

Harga tiket cecah RM2,000

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Jasbeer Singh tiket paling mahal bernilai RM2,222 untuk Zon Sultan mendapat paling banyak sambutan.

Katanya, hanya 20 daripada 506 kerusi masih belum ditempah.

“Tiket VVIP paling banyak dibeli oleh peminat dari Indonesia yang mencatat sebanyak 50 kerusi dan diikuti dari negara seperti Bangladesh, Nepal, Singapura dan Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai kewajaran nilai tiket yang mencecah harga RM2,000 di kala keadaan ekonomi tidak menentu, Jasbeer berkata harga itu dinilai berdasarkan kepercayaan feng shui.

“Bagi kami nombor 2222 (RM2,222)jika dicampur membawa jumlah 8 membawa maksud kesejahteraan. Kalau hendak bandingkan harga tiket VVIP di konsert lain, harga ini boleh dikatakan agak rendah.

“Kami faham situasi ekonomi negara tidak mengizinkan lalu mengurangkan harga asal daripada RM5,000 kepada harga sekarang,” katanya.

 

(Malaysiakini)

[4798774]

Facebook Comments