Rakyat M’sia di Pyongyang “cukup baik” – Reezal 


CYBERJAYA, 16 Mac: Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau menghubungi rakyat Malaysia di Pyongyang hampir setiap hari bagi mendapatkan perkembangan mereka.

Katanya keadaan mereka dilaporkan “cukup baik”.

Kali terakhir beliau menghubungi mereka ialah semalam dan akan berhubung  lagi pada hari ini, katanya.

“Saya bercakap dengan mereka hampir setiap hari atas arahan Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman),” katanya kepada pemberita ketika menemani anaknya, Reena Iffatul Camelia mengambil slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2016 di Sekolah Seri Puteri, di sini hari ini.

Setakat ini sembilan rakyat Malaysia masih berada di Pyongyang dan tidak dibenarkan meninggalkan negara itu di bawah larangan sementara yang dikenakan Korea Utara.

Mereka merupakan petugas Kedutaan Malaysia di Pyongyang bersama anggota keluarga.

Minggu lepas Korea Utara melarang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara tersebut yang membuatkan Malaysia turut mengambil tindakan sama dengan tidak membenarkan rakyat Korea Utara di Malaysia daripada meninggalkan negara ini.

Pertikaian diplomatik tercetus antara Malaysia dan Korea Utara susulan tidak ada persetujuan dalam beberapa perkara berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb lalu.

— Bernama 

(The Malaysian Times)

[4798767]

Facebook Comments