Mungkin PAS masih terluka, tak boleh memaafkan Dr M – Syed Ali 


KUALA LUMPUR, 16 Mac: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat PAS meninggalkan Pakatan Harapan kerana kehadiran Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sah! pakatan pembangkang gagal untuk ‘bersatu’ apabila PAS nekad untuk tidak lagi bekerjasama dengan parti BERSATU yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad setelah parti itu mengesahkan menyertai Pakatan Harapan.

“Perkembangan terbaru itu kata PAS dengan jelas masih tidak boleh menerima kehadiran Dr Mahathir dalam blok pembangkang yang mungkin mereka sifatkan bekas Perdana Menteri itu banyak melukai hati pemimpin PAS.

“Kita tidak tahu sebab sebenarnya, mungkin pemimpin PAS masih terluka dengan perlakuan dan tindakan Dr Mahathir selama ini, ini hanya pandangan saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, apabila PAS memutuskan untuk tidak bersama Pakatan Harapan kerana disebabkan kehadiran BERSATU, bermakna dalam kalangan pembangkang tidak ada kesepakatan dan sehaluan dalam banyak perkara.

Malah katanya, kemungkinan juga kalangan pemimpin PAS masih tidak boleh memaafkan Dr Mahatahir yang pada mereka telah banyak menzalimi perjuangan PAS walaupun kini bergerak bersama BERSATU untuk menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Semalam, media melaporkan bahawa PAS membayangkan tiada lagi kerjasama yang akan terjalin antara PAS dan BERSATU setelah parti itu mengesahkan menyertai Pakatan Harapan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik sebagai berkata,  sebarang perbincangan ke arah hubungan dua parti itu khususnya dalam PRU ke-14 kini tidak bermakna lagi.

“Jika BERSATU memilih untuk berada di dalam Pakatan Harapan, maka semuanya sudah terjawablah, maka putuslah. Kalau itu pendirian rasminya, tiada perbincangan dan tiada apa lagi, kita jalan sendirilah,” kata Mohd Amar.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata keputusan PAS untuk tidak bersama Pakatan Harapan juga menunjukkan parti itu akan kembali kepada perjuangan asal mereka yang bergerak secara bersendirian dan yakin mereka mempunyai kekuatan tersendiri.

“Kita mengikuti perkembangan tersebut, bagaimanapun sama ada PAS menyertai blok pembangkang atau sebalikinya tidak memberi sebarang tekanan kepada UMNO dan BN,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mengingatkan pemimpin UMNO disetiap peringkat supaya melipatgandakan usaha memenangi hati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Sekarang kita sudah lihat pertelagahan dan perlakuan pembangkang, inilah kesempatan untuk kita (UMNO) menyusun strategi yang lebih berkesan untuk meyakini sikap dan sokongan pengundi,” katanya.

Mengenai kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru di beberapa negeri pada pada PRU akan datang, beliau berkata UMNO sudah biasa berdepan dengan cabaran sedemikian malah pernah berlaku pertandingan lebih daripada tiga penjuru.

“UMNO tidak ada masalah, siapa pun (pembangkang) akan ditentang habis-habisan oleh UMNO kerana kita inginkan kemenangan yang lebih besar,” tegasnya.

Menurut beliau, UMNO sebagai parti terbesar mewakili kepentingan orang Melayu yang menjadi tulang belakang BN akan melakukan yang terbaik untuk meraih kemenangan melebihi 2/3 untuk membentuk sebuah kerajaan harmoni.

Bagi merealisasikan kemenagan tersebut, beliau mahu segenap lapisan kepimpinan parti menguatkan perpaduan dan bekerja keras disamping memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada presiden dan timbalan presiden parti.

 

(The Malaysian Times)

[4798768]

Facebook Comments