IGEM 2007 sasar peluang niaga RM1.6 bilion

SUMBER www.igem.my

KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Antarabangsa Produk Teknologi Hijau & Eko Malaysia (IGEM) kelapan yang dijadualkan pada 11 hingga 13 Oktober depan, menyasarkan peluang perniagaan bernilai RM1.6 bilion menerusi penyertaan 300 peserta dan 30,000 pengunjung dari 20 negara.

IGEM, anjuran bersama oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) dan Malaysian Exhibition Services (MES), adalah platform perniagaan teknologi hijau serta inovasi terbesar rantau ini.

Acara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu bakal menarik minat penggiat industri utama dari seluruh dunia untuk mempamerkan inovasi terkini dalam bidang teknologi hijau.

Pemangku Timbalan Menteri KeTTHA, Datuk Seri SK Devamany, berkata kerajaan komited untuk memacu agenda hijau dan penganjuran IGEM buat tahun kelapan berturut-turut adalah bukti kepada matlamat ini.

“IGEM terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab teknologi hijau di rantau dan ia turut mencatatkan rekod cemerlang dalam menjana peluang perniagaan yang meningkatkan pelaburan dalam industri berasaskan teknologi industri hijau,” katanya.

Beliau berkata, sejajar pertumbuhan pesat industri berasakan teknologi hijau dalam kalangan negara ASEAN, IGEM berada dalam kedudukan kukuh untuk membolehkan perniagaan memanfaatkan potensi yang wujud.

“Bagi pihak KeTTHA, saya minta syarikat dan usahawan industri berasakan teknologi hijau untuk menyertai IGEM bagi menggunakan sepenuhnya peluang yang ada,” katanya.

Sejak edisi pertama pada 2010, IGEM menjana peluang perniagaan bernilai lebih RM10 bilion dan menarik lebih 330,000 orang pengunjung dari 40 buah negara.

Ia termasuk delegasi, orang kenamaan dan syarikat dari China, Jepun, Korea, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan negara anggota ASEAN.

(BHONLINE)

[4798753]

Facebook Comments