DBKL buru lebih 400 unit PA/PPR untuk dirampas


KUALA LUMPUR 16 Mac – Lebih 400 unit Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah dikenalpasti dan sedang dalam tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merampas kesemua unit itu bagi tujuan pemutihan.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Mohd. Muzammer Jamaluddin berkata, setakat minggu ketiga sejak Operasi Rampasan Unit Pelanggaran Syarat-Syarat Penyewaan PA/PPR berjalan sudah 180 unit telah dirampas.

Katanya, rampasan unit dilakukan selepas mendapat maklumat melalui siasatan kakitangan jabatannya dan aduan penduduk setempat untuk mengenalpasti unit-unit yang tidak dihuni lagi atau diduduki penyewa tidak sah.

“Operasi di PPR Desa Rejang, Setapak di sini kita telah kenal pasti 40 unit untuk dirampas atas kesalahan melanggar syarat sewa berdasarkan maklumat diperoleh bagi memberi peluang kepada pemohon lain untuk menyewanya.

“Kebetulan hari ini kita jumpa unit yang dalam senarai untuk dirampas jadi sarang penagih dadah dan kita akan maklum kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut selepas selesai rekod maklumat inventori,” katanya selepas mengetuai operasi itu hari ini. – UTUSAN ONLINE

(Utusan Online)

[4798728]

Facebook Comments