APMM Tahan Bot Nelayan Vietnam Tangkap Ikan Di Perairan Negara

PASIR PUTEH, 16 Mac (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah bot dan lima nelayan Vietnam kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara, semalam.

Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata nelayan terbabit yang berumur antara 17 dan 37 tahun ditahan pada kedudukan 88 batu nautika dari pantai Tok Bali di sini, pada pukul 10 pagi.

“Bot bersama nelayan terbabit ditunda ke Jeti APMM di Tok Bali untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di pejabat APMM Daerah Maritim 10 Tok Bali hari ini.

Nurul Hizam berkata bot, peralatan menangkap ikan serta 300 kilogram ikan tenggiri yang ditangkap oleh nelayan terbabit, dirampas.

Beliau berkata sejak akhir-akhir ini, pencerobohan nelayan asing semakin menjadi-jadi berikutan keadaan cuaca bertambah baik selepas berakhirnya musim tengkujuh yang bermula November lepas.

APMM akan terus meningkatkan rondaan bagi mencegah pencerobohan nelayan asing di perairan negara yang kaya dengan hasil laut, katanya.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4798732]

Facebook Comments