Projek ECRL tidak boros

DATUK Seri Saripuddin Kasim. – Foto Iqmal Haqim Rosman/BERNAMA

KUALA NERUS: Kerajaan tidak boros berbelanja apabila melaksanakan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 kilometer (km) membabitkan peruntukan RM55 bilion.

Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim, berkata projek berimpak tinggi itu apabila siap nanti mampu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas selain meningkatkan taraf hidup rakyat.

Katanya, projek itu mempunyai pelbagai kesan positif termasuk mengurangkan pencemaran alam sekitar serta menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan awam, terutamanya perkhidmatan kereta api.

“Hasil kajian dilakukan selepas kerajaan memperkenalkan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) mendapati lebih 500,000 penduduk terutamanya yang tinggal di Lembah Klang menggunakan kemudahan itu terutamanya ketika waktu puncak.

“Kerajaan menyasarkan kira-kira 1.3 juta penduduk akan menggunakan pengangkutan awam terutamanya perkhidmatan kereta api sehari, ” katanya pada Majlis Syarahan Umum CEO & Faculty Program di Auditorium Mahyuddin, Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMT, Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Saripuddin berkata, pembinaan landasan itu akan memudahkan pelbagai produk keluaran penduduk di Pantai Timur dibawa ke Pantai Barat, terutamanya ke Pelabuhan Klang.

Katanya, kemudahan itu akan menjadikan pasaran lebih kompetitif kerana kos pengangkutan rendah, selain mampu menaikkan taraf hidup penduduk.

(BHONLINE)

[4798678]

Facebook Comments