Calon SPM warga Thailand raih 10A

PELAJAR SMK Agama Kuala Lumpur, Ifwa Wirasit menunjukkan slip keputusan 10A keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di SMK Agama Kuala Lumpur. – Foto Nazran Jamel

KUALA LUMPUR: Kamus, novel dan akhbar menjadi ‘sahabat karib’ seorang calon warga Thailand, Ifwa Wirasit, 18, sehingga mencatatkan keputusan cemerlang 10A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, termasuk bahasa Melayu.

Walaupun tidak boleh menguasai bahasa Melayu ketika menjejakkan kaki ke Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL), di sini, Ifwa gigih mempelajarinya setiap hari melalui bahan bacaan.

“Tanpa kebolehan menguasai bahasa Melayu kerana perkampungan saya di Thailand bertutur dalam bahasa ibunda, sangat sukar untuk saya memahami apa diajar guru dan menjawab soalan diberikan, sehingga mereka terpaksa menterjemahkannya satu persatu kepada saya.

“Kesukaran turut berlaku apabila saya mahu berkomunikasi dan berbincang dengan rakan di sekolah, terutama ketika mahu bertanya topik kurang difahami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2016 di SMAKL hari ini.

Dia yang mengambil 11 mata pelajaran pada peperiksaan itu, memperoleh B+ bagi Bahasa Inggeris.

Ifwa berkata, melalui usaha dilakukannya dan inisiatif sekolah mengadakan kelas peralihan bahasa Melayu selama enam bulan khusus kepada pelajar Thailand, dia mampu menguasainya dalam tempoh setahun.

Lebih 100 calon di SMAKL menduduki SPM 2016 yang menyaksikan empat calon memperoleh semua A bagi 11 mata pelajaran diduduki, 10A (empat calon) dan 9A (empat calon).

Sementara itu, Pengetua SMAKL, Kamarul Ariffin Mohd Sharif, berkata sekolah itu sentiasa memastikan pelajar mampu menguasai akademik melalui program dilaksanakan.

“Antara program peningkatan dan pemantapan akademik yang kita laksanakan adalah kelas tambahan bagi membantu penguasaan calon,” katanya.

(BHONLINE)

[4798632]

Facebook Comments