Zon tunda, apitan di Putrajaya mulai April

DATUK Seri Hasim Ismail (kiri) bersama Muhamad Irwan Abdullah menunjukkan Zon Tunda dan Apitan di Putrajaya bermula 1 April. – Foto Noor Atiqah Sulaiman

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) akan melaksanakan kaedah apitan dan tundaan secara berperingkat di beberapa lokasi tumpuan sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan bermula April ini.

Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail, berkata kaedah apitan dan tundaan itu diperkenalkan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan di sini, yang semakin meruncing sejak kebelakangan ini.

Katanya, pertambahan pengunjung harian yang mencecah purata 150,000 orang bagi membuat pelbagai urusan selain peningkatan penduduk setempat di Putrajaya menyumbang kepada faktor itu.

Katanya, ada penduduk mengambil kesempatan meletak kenderaan di bahu jalan sehingga menjadi punca kesesakan.

“Tidak timbul isu tiada tempat meletak kenderaan kerana pihak PPj sendiri sudah menyediakan sekitar 11,000 tempat meletak kenderaan sama ada secara percuma atau berbayar.

“Tujuan PPj adakan kaedah apitan dan tundaan bukan untuk membebankan pengunjung, tetapi bagi memberi pengajaran supaya mereka ikut peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media pelaksanaan Zon Apitan, Zon Tunda dan Maklumat Pakir di Putrajaya, di sini hari ini.

Buat permulaan, Zon Apitan dan Tundaan itu akan membabitkan sembilan kawasan iaitu Presint 1 hingga 4, Presint 5, Presint 7, Presint 9, Presint 15 dan Presint 16 yang meliputi 45 jalan.

Hasim berkata, pihaknya akan bertemu dengan wakil setiap kementerian yang berada di dalam Putrajaya bagi memaklumkan mengenai pelaksanaan kaedah itu, yang dilakukan secara berhemah dan bukannya terburu-buru tanpa memaklumkan pakir alternatif yang boleh diguna oleh pengunjung.

“Diharapkan, pelaksanaan kaedah ini dapat mendidik pengunjung supaya tidak pentingkan diri dan meletak kenderaan di kawasan tidak sepatutnya. Bagaimanapun, ini hanya langkah sementara sehingga sistem pengangkutan trem disiapkan menjelang 2020,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Muhamad Irwan Abdullah, berkata antara Januari hingga 12 Mac lalu pihaknya sudah mengeluarkan sebanyak 18,622 notis pelbagai kesalahan.

“Sepanjang tahun lalu pihak kami sudah mengeluarkan notis pelbagai kesalahan sebanyak 76,000 di mana nilai tunggakan kompaun pula sebanyak RM3juta.

“Kebanyakan notis ini dikeluarkan pada orang yang sama, kerana setiap notis yang dikeluarkan kita ada maklumat di dalam sistem. Ada di antara pesalah yang sudah menerima hampir 50 notis dan jika tidak membayar dalam tempoh tiga bulan, tindakan susulan seperti dihadapkan ke mahkamah akan diambil,” katanya.

(BHONLINE)

[4798603]

Facebook Comments