Airbus A400M keempat milik TUDM tiba di Subang

16/03/2017 3:21pm

KUALA LUMPUR – Pesawat Airbus A400M yang keempat milik Tentera Udara Diraja Malaysia telah selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam akaun Facebooknya, beliau berkata: “Alhamdulillah, pesawat keempat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang (pada Selasa). Pesawat A400M ini merupakan aset yang amat penting dan berharga untuk TUDM. Harap dapat lihat di #LIMA17!

“Saya percaya ia bukan sahaja berupaya menambahkan lagi kekuatan dan kebolehan TUDM malah turut menjadikan TUDM disegani di peringkat serantau dan dunia. #NadiNegaraku.”

Tiga pesawat sama diterima TUDM masing-masing pada awal dan pertengahan tahun lalu serta Mac 2015.

Pesawat A400M mempunyai jangkauan operasi lebih jauh serta berkeupayaan untuk mengangkut kapasiti kargo yang lebih besar berbanding pesawat yang dimiliki TUDM ketika ini.

Selain untuk tujuan pertahanan, pesawat itu berupaya melaksanakan misi yang merangkumi penugasan berkaitan pemindahan perubatan, pengisian bahan bakar di udara, penghantaran udara (penerjun dan logistik) serta operasi bantuan bencana dan kemanusiaan. – Bernama

(Kosmo)

[4798568]

Facebook Comments