Malaysia sasar lapan emas silat Sukan SEA


KUALA LUMPUR 15 Mac – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) menyasarkan lapan daripada 20 pingat emas yang ditawarkan dalam acara silat pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd. Ali Rustam yakin sasaran lapan pingat emas itu mampu dicapai menerusi persediaan rapi yang dilakukan skuad kebangsaan yang dijadual menyertai beberapa kejohanan sebelum ke Sukan SEA dari 19-31 Ogos.

“Insya-Allah, kalau kita buat dengan bersungguh-sungguh, saya yakin kita dapat meraih lapan emas yang disasarkan, sekali gus membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA nanti,” kata Mohd. Ali.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Silat Asia Tenggara ketujuh di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di Batu Caves, dekat sini hari ini.

Berkongsi pandangan sama adalah Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang berkeyakinan lapan pingat emas itu mampu dijelmakan skuad kebangsaan dalam kedua-dua kategori iaitu silat seni dan silat olahraga.

Beliau turut memaklumkan skuad kebangsaan akan menyertai beberapa kejohanan pemanas badan sebelum Sukan SEA termasuk di Uzbekistan pada awal bulan depan dan Kejohanan Terbuka Belgium pada 6-7 Mei nanti.

“Bagi saya, sasaran lapan emas yang dinyatakan Tan Sri adalah realistik…kalau dapat lebih, itu adalah bonus mengambil kira kelebihan kita sebagai tuan rumah serta sokongan penyokong tempatan,” kata Megat Zulkarnain.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kejohanan Silat Asia Tenggara di sini merupakan peluang untuk skuad kebangsaan mengukur kekuatan lawan yang bakal mereka hadapi pada temasya sukan dwitahunan tersebut nanti.

“Kejohanan ini juga merupakan medan pemilihan pesilat kita sebelum ke Sukan SEA. Kita nak tengok peserta terbaik seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Exco Pesaka baru-baru ini…tiada pesilat yang sudah dijamin tempatnya ke Sukan SEA,” tegas Megat Zulkarnain.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan senarai akhir pesilat negara ke Sukan SEA dijangka diputuskan sekembalinya skuad kebangsaan daripada Kejohanan Terbuka Belgium nanti.

Tujuh negara ASEAN mengambil bahagian pada Kejohanan Silat Asia Tenggara iaitu Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia selaku tuan rumah.

Sebanyak 19 kategori termasuk enam acara silat seni dipertandingkan pada kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini. – BERNAMA

(Utusan Online)

[4798544]

Facebook Comments