Sarjan mengaku tidak bersalah


Melaka: Anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan rasuah berjumlah RM1,500 yang diterima daripada seorang wanita, September tahun lalu, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka Tengah, hari ini.

Muhammad Firdaus Sulaiman, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di depan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Muhammad Firdaus yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Balai Polis Melaka Tengah, secara rasuah cuba, sudah setuju dan memperoleh bagi diri sendiri suapan RM1,500 daripada seorang wanita.

Suapan itu adalah dorongan kepadanya untuk melupuskan barang kes iaitu air kencing yang hendak diuji milik anak wanita terbabit yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam salah guna dadah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(i) akta sama yang memperuntuk penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000.

Mohd Nasir menetapkan jaminan RM6,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

(myMetro)

[4798440]

Facebook Comments