Malaysia desak Myanmar henti tindas Rohingya

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya 2017 di Putrajaya, hari ini. – Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Malaysia mendesak Myanmar menghentikan segera penindasan terhadap etnik Rohingya dan membuktikan kepada ASEAN mereka boleh menerima golongan minoriti itu sebagai rakyat negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata berdasarkan sejarah ASEAN, Malaysia adalah satu-satunya negara yang melindungi Myanmar ketika negara itu bersendirian dan berjuang untuk kemasukannya ke dalam ASEAN.

“Bagaimanapun, kita amat sedih dengan apa yang berlaku kepada Rohingya di Rakhine. Apa yang mereka lakukan kepada masyarakat Islam di Myanmar benar-benar tidak boleh diterima.

“Saya percaya tindakan membakar, membunuh hidup-hidup dan keganasan terhadap manusia ini tidak tertulis dalam mana-mana agama.

“Myanmar sepatutnya tahu tindakan mereka amat berbahaya kerana membangkit dan mencetuskan perasaan masyarakat Islam di seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya 2017 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Myanmar juga tidak mempedulikan mesej diplomatik daripada Malaysia yang meminta mereka menghentikan keganasan itu.

“Mereka meminta negara ASEAN tidak mencampuri urusan politik dalaman mereka tetapi ini bukan untuk mencampuri, ini adalah keprihatinan kepada saudara kita di Myanmar,” katanya.

Persidangan selama tiga hari itu turut mencapai 14 resolusi bagi membantu etnik Rohingya di negara berkenaan.

(BHONLINE)

[4798439]

Facebook Comments