Neymar berada di tahap sama seperti Messi dan Ronaldo, kata Ronaldinho


Neymar membentuk salah satu bahagian serangan yang terbaik di Barca. – Gambar fail

LEGENDA Brazil, Ronaldinho, percaya rakan senegaranya, Neymar, sudah berada di tahap yang sama seperti rakan sepasukan Barcelona, Lionel Messi, dan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Bersama-sama Messi dan Luis Suarez, Neymar membentuk salah satu bahagian serangan yang terbaik di dunia di Barca.

Neymar, 25, telah memenangi dua kejuaraan LaLiga, Liga Juara-Juara dan trofi lain bersama kelab gergasi Eropah itu. Ronaldinho, dua kali meraih anugerah Pemain Terbaik Tahunan Dunia FIFA, berasakan Neymar tergolong bersama Messi dan Ronaldo, secara umumnya menganggap sebagai pemain terbaik di planet ini.

“Neymar adalah kawan baik dan dia adalah idola terbesar Brazil hari ini,” katanya kepada Gulf News di Dubai, hari ini.

“Dia sudah berada di tahap yang sama seperti Ronaldo dan Messi dan kami benar-benar berharap bahawa suatu hari nanti dia boleh meraih Ballon d’Or dan meneruskan kejayaan. Tetapi dia sudah berada dalam kalangan pemain terbaik dan hanya menunggu masa.”

Seperti Neymar, Ronaldinho membintangi Barca — meraih dua kejuaraan liga dan Liga Juara-Juara pada tahun 2006.

Tetapi pemain yang membuat 97 penampilan bersama skuad Brazil itu, tidak mahu membandingkan Barca hari ini dengan pasukannya.

“Saya tidak pernah suka perbandingan, kami adalah pasukan hebat dengan pemain dan individu yang hebat, dan skuad hari ini juga mempunyai sebuah pasukan yang hebat dengan pemain dan individu yang hebat,” kata Ronaldinho.

“Saya berjaya, pasukan saya berjaya dan kami memenangi banyak trofi dan pasukan Barca hari ini adalah sama, mereka juga sangat berjaya, jadi saya mahu mengharapkan yang terbaik buat mereka. Saya tidak suka perbandingan, saya hanya tahu kami perlu teruskan. ”

Untuk lebih banyak lagi berita sukan dan video, klik di sini

(Astro Awani)

[4798393]

Facebook Comments