Penuhi amanat arwah bapa


Kuantan: Kehilangan dua insan tersayang akibat kemalangan jalan raya tahun lalu mendorong Syaheeda Mohd Shafee, 18, membulatkan tekad untuk cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia turut memikul amanah arwah bapa, Mohd Shafee Mohd dan abangnya Mohd Syahmi yang mahu melihat dia berjaya seterusnya menggapai cita-cita bergelar akauntan.

Syaheeda yang memperoleh 4A+ 4A 1A-, berkata dia lebih senang belajar bersendirian selain segera bertanya kepada guru jika ada perkara tidak difahami.

“Sejak kehilangan ayah dan abang, saya berusaha sedaya upaya memenuhi impian mereka. Saya turut menjadikan arwah abang sebagai idola dan pesaing kerana dia turut cemerlang dalam pelajaran,” katanya selepas pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, di sini, hari ini.

Syaheeda yang mahu melanjutkan pelajaran ke Australia, berkata dia tidak menjadikan alasan status anak yatim sebagai penghalang untuk berjaya sebaliknya menganggap ia adalah dugaan yang menjadi pemangkin untuk berjaya.

(myMetro)

[4798386]

Facebook Comments