Dasar Buku Negara perlu diperbaharui

KUALA LUMPUR 16 Mac – Kerajaan diminta memperbaharui Dasar Buku Negara (DBN) supaya memberi kesan penting dalam membantu menjayakan wawasan TN50.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berkata, DBN telah diguna pakai sejak era 1980-an yang memerlukan ia diperbaharui kerana asas untuk sesebuah negara menjadi maju adalah ilmu.

“DBN mesti diberi perhatian khusus kerana negara menuju wawasan TN50. Asas sebuah negara maju ialah ilmu. Pencarian ilmu mesti digali menerusi buku, dan buku pula wujud dalam penzahiran kovensional dan digital.

“Malah, buku adalah rakaman ilmu yang paling asasi serta organik, mengkhazanahkan kecerdasan lokal (local wisdom) mewakili nilai-nilai Malaysiana. Buku mewakili sisi penting yang lebih awla dan huluan (upstream) di dalam rantaian industri kandungan. DBN mesti diperbaharui sejajar dengan perkembangan zaman ini,” katanya di ketika membahaskan usul di Parlimen.


Budiman turut mencadangkan dalam menyemarakkan industri buku, Kad Debit Siswa (dahulunya Baucer Buku 1Malaysia) dikembalikan kepada pembelian buku sahaja dan bukan kepada perkara-perkara lain.


“Ekonomi Perbukuan perlu mempunyai indeks-indeks khusus yang menilai kualiti kandungan, kesan terhadap kecerdasan di samping petunjuk-petunjuk ekonomi yang menggambarkan keberadaan (healthcheck) perbukuan negara. Ini termasuklah petunjuk kebolehupayaan pengguna membeli buku,” katanya.


Pada sama beliau turut menyarankan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menggunakan Strategi Lautan Biru (BOS) dan melaksanakan inisiatif merentas sempadan kebiasaan, sekali gus melihat industri buku dalam kerangka lebih menyeluruh.


“Industri buku negara mesti dilindungi. Konsep ‘Kedaulatan Kandungan’ mesti diambil perhatian supaya karya buku Malaysia didaftar, disimpan dan diarkibkan dalam negara secara bersungguh-sungguh agar kita kelak tidak perlu meminta-minta kandungan kita yang berkemungkinan di simpan dalam repositori digital milik negara asing,” katanya.


(Utusan Online)

[4798368]

Facebook Comments