Lagu Nazim temui peminat awal April

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nazim Othman, 32, bakal muncul dengan lagu baharu berjudul Kerana Cinta, awal April depan.

Lagu ciptaan Hael Husaini dan lirik tulisan Ezra Kong itu akan diterbitkan oleh syarikat rakaman Raksasa Records, manakala edarannya dilakukan Warner Music.

Menurut Nazim yang juga suami kepada pelakon, Bella Daly, lagu berentak balada berkenaan sepatutnya sudah pun mula dipromosikan, namun ia ditunda seketika.

“Secara rasminya, inilah lagu pertama saya diterbitkan di bawah syarikat rakaman. Sebelum ini, saya pernah merakamkan beberapa lagu, namun ia dihasilkan untuk dijadikan runut bunyi drama.

“Saya juga sebenarnya serius dalam bidang nyanyian, namun agak terumbang-ambing kerana bergerak sendiri. Untuk berjaya dalam bidang ini, kita perlu ada pasukan yang kuat memberikan sokongan dari belakang,” kata pemilik nama penuh Nushrul Alif Othman itu.

Menurut Nazim, selepas menyertai pertandingan nyanyian Gempak Superstar yang membabitkan kalangan pelakon, tahun lalu, beliau ada menerima tawaran daripada dua syarikat muzik gergasi. Bagaimanapun, tawaran itu ditolak atas beberapa alasan.

“Kebetulan ketika itu saya masih penat dengan pembabitan dalam Gempak Superstar dan menjalani penggambaran drama 100 episod, Lara Aishah.

“Hujung tahun lalu, tawaran daripada Raksasa Records hadir dan ia tiba pada waktu yang sesuai. Saya mengikat kontrak selama dua tahun bersama syarikat muzik berkenaan. Saya menjadi artis kedua naungan mereka selepas Bella Nazari.

“Saya juga menerima tawaran berkenaan ini selepas meneliti insan yang berada di balik tabir syarikat terbabit. Mereka termasuklah Ezra sendiri yang pernah bekerjasama dengan saya ketika merakamkan lagu runut bunyi sebelum in,” katanya yang memberitahu, Hael juga adalah kawan baiknya.

Kata Nazim, kedua-dua komposer terbabit mengetahui keupayaannya dalam nyanyian, justeru beliau percayakan hasil karya dihasilkan mereka.

Dalam perkembangan lain, pelakon ini memaklumkan dirinya akan menjayakan sebuah telefilem arahan Thumb Suhaimi, tidak lama lagi, bergandingan dengan bintang sensasi, Janna Nick.

(BHONLINE)

[4798365]

Facebook Comments