32 pelajar SMK Aminuddin Baki peroleh keputusan semua A

KUALA LUMPUR 16 Mac – Sebanyak 32 pelajar daripada 164 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pengetuanya, Siti Sarimah Shaik Abd. Rahman berkata, peratus bilangan yang mendapat semua A menunjukkan peningkatan pada tahun ini iaitu 19.51 peratus berbanding 15.67 pada tahun 2015.

Menurutnya, empat subjek menunjukkan peningkatan ketara dari segi gred purata sekolah (GPS) iaitu Pendidikan Islam (1.42 peratus), Matematik Tambahan (4.10 peratus), Fizik (2.97 peratus) dan Biologi (2.36 peratus)

“Kita percaya kecemerlangan pelajar ini adalah hasil kerjasama antara pelajar, guru dan ibu bapa dalam menjayakan pelbagai program yang dianjurkan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2016 di SMK Aminuddin Baki di sini hari ini.

Sementara itu, pelajar terbaik SPM 2016 SMK Aminuddin Baki, Tan Hua Siang, 18, berkata, bukan mudah untuk mendapat keputusan yang cemerlang kerana ia memerlukan usaha yang berterusan dan semangat yang kuat.

“Walaupun saya mengikuti kelas tambahan di luar, dalam masa sama saya juga tidak melepaskan peluang untuk mengikuti kelas tambahan yang dianjurkan pihak sekolah. Walaupun jadual agak padat setiap hari, namun penat lelah saya terbalas dengan keputusan cemerlang yang saya peroleh hari ini.

“Namun agak sedih apabila kegembiraan ini tidak dapat saya kongsikan bersama ibu tercinta yang telah pergi buat selama-lamanya beberapa tahun yang lepas,” katanya yang mendapat 8A+ dan 1B.

Dalam pada itu, Nabeel Kamarul Bahreen, 18, berkata, dia banyak membuat latih tubi soalan-soalan SPM yang lepas dan mengambil masa kira-kira empat jam setiap hari untuk mengulangkaji pelajaran.

“Saya berharap dengan keputusan yang cemerlang ini, saya dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang Kimia,” ujarnya.

Rakannya, S.Aishwarya, 18, berkata, dia memperuntukkan kira-kira tujuh jam setiap hari untuk mengulangkaji pelajaran.

“Setiap hari saya akan tidur pada pukul 2 atau 3 pagi dan akan bangun pada pukul 5 pagi untuk bersiap-siap ke sekolah kerana untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang, ia memerlukan pengorbanan yang sangat besar,” katanya yang bercita-cita untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan. – UTUSAN ONLINE

(Utusan Online)

[4798345]

Facebook Comments