Perkongsian strategik Proton dengan rakan asing untungkan pemain industri domestik – MITI


Pemilihan rakan strategik adalah satu faktor penting dalam usaha untuk mencapai transformasi demi kejayaan jangka masa panjang Proton. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Perkongsian strategik pengeluar kereta nasional, Proton, dengan rakan kongsi asing akan memberi manfaat kepada semua yang terlibat dalam ekosistem industri automotif domestik, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI berkata dari segi produk, selain daripada perkongsian platform, kedua-dua pihak bakal berkongsi sumber untuk membangunkan produk baharu.

“Di samping itu, perkongsian ini bakal membuka ruang pasaran yang lebih luas kepada Proton dari segi jualan dan eksport ke pasaran serantau,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Persidangan Dewan Rakyat, pada Selasa. Kementerian tersebut menjawab soalan Khalid Abd Samad (Amanah-Shah Alam) mengenai kewajaran penjualan 51 peratus ekuiti Proton kepada pihak luar dan implikasinya kepada masa depan syarikat berkenaan.

Menurut kementerian itu, perkongsian strategik berkenaan dijangka memberi manfaat dari segi pengetahuan, teknologi serta pengilangan kepada Proton.

MITI berkata, pemilihan rakan strategik adalah satu faktor penting dalam usaha untuk mencapai transformasi demi kejayaan jangka masa panjang syarikat itu.

“Ini adalah bagi memastikan Proton terus berdaya saing serta mampu mencapai sasaran proses pemulihannya serta mengembalikan kegemilangan dan ekuiti jenama positif yang pernah dikecapi pada tahun-tahun sebelum ini.

“Oleh itu, perkongsian strategik ini dijangka memberi hasil terbaik kepada semua pihak yang terlibat,” kata kementerian itu.

— BERNAMA

(Astro Awani)

[4798338]

Facebook Comments