Kastam Vietnam rampas lebih 100kg dipercayai tanduk badak

16/03/2017 2:14pm

HANOI – Pegawai Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai Hanoi merampas 100 kilogram (kg) dipercayai tanduk badak diimport dari Afrika, lapor agensi berita China Xinhua.

Tanduk hidupan liar itu ditemui dalam dua bagasi menerusi penerbangan dari Nairobi, Kenya ke Hanoi, lapor akhbar dalam talian Tuoi Tre (Youth) pada Khamis.

Bagasi itu tidak mempunyai jumlah berat dan nama penerima.

Siasatan dijalankan unit anti penyeludupan Jabatan Kastam Vietnam mendapati satu bagasi mempunyai berat 57.1kg dan satu lagi seberat 60.84kg.

Sementara siasatan lanjut dijalankan, tanduk badak itu dihantar menjalani pemeriksaan di Institut Ekologi dan Biologi di bawah kawal selia Akademi Sains dan Teknologi Vietnam.

Pada 29 Disember 2016, jabatan kastam sama turut merampas 50kg tanduk badak dalam satu penerbangan dari Kenya untuk satu penghantaran meragukan.

Penghantaran dipercayai bagi pasaran haram itu dianggarkan bernila AS$879,097, lapor Tuoi Tre.

Mengikut undang-undang Vietnam, import tanduk badak dan semua haiwan yang dilindungi Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesis Fauna dan Flora Liar Terancam (CITIES) adalah dilarang sama sekali. – Bernama

(Kosmo)

[4798289]

Facebook Comments