PAS bidas DAP S’wak tolak ustaz semenanjung


Pemuda PAS mendakwa DAP “semakin ketara menonjolkan permusuhannya kepada Islam” apabila menolak kemasukan guru agama semenanjung ke Sarawak.

Dewan itu mendakwa isu penempatan guru pendidikan Islam dari semenanjung ke Sarawak yang dibangkitkan anggota parlimen DAP Bandar Kuching Chong Chieng Jen sekadar “alasan lunak untuk menjustifikasikan motif terselindung”.

“Alasan atau hujah direka-reka telah ketinggalan zaman dan umpama katak di bawah tempurung,” kata ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari.

Semalam, Chong yang juga pengerusi DAP Sarawak berkata, membawa masuk guru agama “import” yang “sempit” pemikiran dari Semenanjung akan mengganggu keharmonian antara kaum di Sarawak, lapor FMT.

Sementara itu, Ahmad Fadhli dalam kenyataannya hari ini menegaskan proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk silibus diguna pakai adalah seragam dan standard di seluruh negara.

Katanya, guru-guru turut tertakluk atas tatasusila yang khas.

“Tidak pernah kedengaran situasi seperti itu hingga mempengaruhi, mencemar apatah lagi merosakkan pemikiran, budaya dan falsafah daripada perbezaan yang ada,” katanya.

(Malaysiakini)

[4798242]

Facebook Comments