Zidane Mahu Elak Bertemu Leicester City


KELAB elit Eropah kini berwaspada dan berharap tidak bertembung dengan juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Leicester City dalam saingan suku akhir Liga Juara-Juara susulan kemaraan skuad The Foxes ke pusingan seterusnya.

Malah pemain legenda Perancis yang kini membimbing Real Madrid, Zinedine Zidane turut menyuarakan kebimbangan untuk bertemu dengan Leicester City yang pertama kali menyertai Liga Juara-Juara.

Ia susulan kemenangan bergaya 2-0 Leicester City menewaskan juara bertahan Liga Eropah musim lalu, Sevilla pada Rabu, sekali gus mara dengan agregat 3-2.

Bagi Zidane, walaupun Real Madrid memiliki rekod menjuarai piala terulung Eropah itu sebanyak 11 kali, tetapi dia mengakui mahu mengelak bertembung dengan Leicester City pada saingan suku akhir.

“Saya tidak fikir mana-mana jurulatih berharap bertemu Leicester.

“Mereka terus mencapai apa sahaja impian yang tidak boleh dicapai.

“Ramai menjangkakan Leicester tidak mampu menewaskan Sevilla, tetapi mereka berjaya membuktikannya.

“Leicester tidak menjadi pilihan apabila bertemu dengan mana-mana kelab dan mereka tidak mempunyai tekanan, sekali gus boleh melakar kejutan.

“Mereka memiliki ramai pemain berbakat selain bermain dengan sepenuh hati. Sukar untuk berdepan pasukan seperti itu,” katanya.

(mStar)

[4797562]

Facebook Comments