Pengguna perlu bijak berhadapan kes penipuan dalam talian


Pengguna perlu bijak berurusan secara dalam talian khususnya yang melibatkan transaksi kewangan. – Gambar hiasan/Astro AWANI

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia perlu tahu kuasa pengguna yang dimiliki serta bijak dalam membuat keputusan serta mengambil tindakan terutamanya apabila berhadapan dengan kes penipuan dalam talian.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong berkata dalam arus ekonomi dunia yang tidak menentu dan penggunaan teknologi digital yang agresif, pengguna berhadapan isu kepenggunaan yang semakin mencabar.

“Oleh itu, pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu kepenggunaan meliputi pelbagai aspek iaitu sosial, ekonomi dan persekitaran semasa,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia 2017, di sini pada Rabu. Menurutnya, tema sambutan ‘Membina Pengguna Dunia Digital Yang Boleh Dipercayai’ sangat bertepatan dengan kepesatan teknologi global ketika ini kerana rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi yang ada.

Beliau berkata ia terbukti menerusi laporan Bernama pada 10 Mac lepas yang menyatakan ekonomi Malaysia merupakan pasaran dalam talian yang paling pesat berkembang hari ini dengan jualan mencecah RM3.1 juta sejak enam bulan lepas.

Sambutan pada tahun ini berkonsepkan forum, melibatkan ahli-ahli panel daripada agensi kerajaan, wakil dari eMarkeplace serta ahli perniagaan dalam talian Malaysia yang terkemuka.

Antara isu yang dibincangkan adalah berkaitan kepesatan teknologi dan alam maya, cabaran evolusi digital serta langkah dan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan bagi menangani isu tersebut.

Sumber terkini daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengesahkan terdapat seramai tujuh juta pembeli dalam talian pada setiap bulan pada 2015.

— BERNAMA

(Astro Awani)

[4797533]

Facebook Comments