Kyrgios singkir juara bertahan di Indian Wells


NICK Kyrgios. – Foto AFP

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Nick Kyrgios mengakhiri perjalanan juara tiga kali berturut-turut Novak Djokovic di Indian Wells, hari ini dengan menyingkirkan pemain nombor dua dunia itu di pusingan empat kejohanan pertama Masters tahun ini.

Pemain kelahiran Australia berusia 21 tahun itu menang 6-4, 7-6 (7/3), sekali gus kemenangan keduanya dalam tempoh dua minggu ke atas Djokovic yang mengikuti kejayaan di Acapulco.

Djokovic sebelum ini memenangi 19 perlawanan berturut-turut di Indian Wells sejak tahun 2014 dengan keseluruhan lima gelaran termasuk pada 2008 dan 2011.

Pada aksi suku akhir, Kyrgios dijadual menentang juara Terbuka Australia, Roger Federer yang menewaskan bintang Sepanyol, Rafael Nadal 6-2, 6-3 di pusingan keempat.

Kyrgios sudah pun meletakkan namanya di dalam rekod pemain termuda menewaskan pemain digelar ‘Big 5’ iaitu Djokovic, Federer, Nadal, Andy Murray dan Stan Wawrinka.

Bagi Djokovic, ia satu lagi kekecewaan pada tahun ini selepas permulaan baik di Doha, Qatar mengikuti kekalahan mengejut di pusingan dua Terbuka Australia. – AFP

(BHONLINE)

[4797369]

Facebook Comments