Kementerian perlu labur dalam mempromosi gaya hidup sihat


Gaya hidup sihat seharusnya bermula seawal mungkin dalam fasa kehidupan setiap manusia. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan perlu membuat pelaburan ketara dalam maklumat mudah difahami kepada orang ramai bagi menggalakkan gaya hidup sihat kerana rakyat Malaysia secara amnya tidak sihat, kata bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican.

Katanya, adalah penting untuk orang ramai dimaklumkan mengenai isu-isu kesihatan semasa sepanjang masa menerusi media cetak, elektronik dan laman sosial bagi membolehkan mereka dididik mengenai gaya hidup sihat, mengelak tingkah laku berisiko tinggi, mencegah penyakit kronik dan kepentingan kebersihan dan penjagaan diri.

“Tidak ada gunanya bergegas ke klinik atau hospital untuk setiap masalah kesihatan apabila ada yang boleh ditangani dalam kawasan rumah mereka.

“Bagi menjayakan penjagaan diri, didikan yang betul dan pesanan mudah diperlukan dan Kementerian Kesihatan mesti melabur untuk menyampaikan maklumat tersebut kepada orang ramai di mana sahaja mereka berada…sama ada mereka ini celik internet atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Generasi muda

Dalam konteks ini, katanya, generasi muda merupakan kumpulan yang mencabar untuk dikendalikan kerana golongan ini mempuyai pemikiran dan kecenderungan tersendiri namun ini tidak bermakna pihak berkuasa melepaskan tangan. “Ramai daripada mereka lebih suka media sosial atau personaliti ikonik untuk berbicara atau berkomunikasi dengan mereka dan dengan itu mempengaruhi mereka maka strategi terhadap kumpulan sasar adalah penting supaya ia berkesan,” katanya.

Dr Ismail bersetuju dengan pandangan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia boleh dianggap sebagai tidak sihat, sambil menjelaskan antaranya Malaysia merupakan negara dengan kadar obesiti paling tinggi di Asia Tenggara.

Menurutnya, 15 peratus daripada kanak-kanak bertatih dan prasekolah dan 30 peratus murid sekolah rendah mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

“Golongan kanak-kanak adalah kebimbingan kami kerana kebanyakan mereka mengambil makanan di luar rumah. Wujud kekurangan hidangan dalam keluarga, saiz hidangan yang lebih besar, banyak permainan video dalam rumah berbanding aktiviti fizikal di luar dan tidak cukup tempat yang kondusif atau selamat untuk aktiviti luar khusus di kawasan luar bandar,” katanya.

Ditanya mengenai tahap kesihatan rakyat Malaysia, Dr Ismail berkata rakyat sering jatuh sakit pada ketika ini kerana ramai yang percaya saringan kesihatan adalah tidak perlu dan hanya membazir masa sebelum mendapati mereka mengidap kanser, darah tinggi, kencing manis, penyakit hati kronik dan lain-lain.

Akhirnya, sesetengah daripada mereka mengalami serangan jantung yang membawa maut dan strok kerana penjagaan diri bukan satu keutamaan, terutama golongan berusia lebih muda.

Bersama-sama dengan ini, banyak isi rumah hanya melakukan pelaburan minimum dalam bidang kesihatan dan bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk membantu apabila mereka jatuh sakit.

Sambil lewa

Dr Ismail berkata sikap acuh tak acuh dalam kalangan rakyat Malaysia telah mewujudkan keadaan di mana mereka hanya akan berjumpa dengan doktor atau menjalani pemeriksaan kesihatan apabila mengalami masalah kesihatan.

Tidak ramai rakyat Malaysia telah mendengar mengenai bantuan diri dalam penjagaan kesihatan atau mengamalkan gaya hidup sihat, mengambil makanan seimbang atau melakukan aktiviti senaman secara konsisten.

Beliau turut memberi statistik lain yang menggerunkan mengenai tahap kesihatan umum rakyat Malaysia dengan memetik laporan Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga pada 2006.

Laporan itu menyebut kira-kira 2.8 juta penduduk Malaysia berusia antara 18 tahun dan ke atas merokok, 5.5 juta tidak aktif secara fizikal, 3.6 juta berat badan berlebihan, 1.7 juta obesiti, masing-masing 4.8 juta dan 1.5 juta penduduk berusia lebih 18 tahun mengidap tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Lebih banyak usaha diperlukan untuk menangani isu-isu kesihatan awam. Pemilikan peralatan berteknologi canggih dan kesedaran yang semakin meningkat mengenai ketidaksamaan dalam sistem penjagaan kesihatan, maka kita perlu mencari strategi baharu dan inovatif bagi menangani kebimbangan ini secara berkesan,” katanya.

Beliau turut berkata susulan kos rawatan di hospital swasta semakin meningkat, maka ramai beralih ke hospital awam sehingga menyebabkan kesesakan pesakit dan ini bermakna kualiti penjagaan kesihatan akan terjejas.

Katanya, dengan lebih perbelanjaan tertumpu kepada aspek pencegahan, maka kementerian menjangkakan bajet yang lebih besar dan terkawal untuk rawatan kuratif.

“Tetapi untuk ini, kami memerlukan kerjasama rapat dengan masyarakat yang dianggap amat sukar,” katanya.

— BERNAMA

(Astro Awani)

[4796965]

Facebook Comments