Rutte dahului Wilder dalam undian


Mark Rutte dan Geert Wilders. – Foto Reuters

AMSTERDAM: Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, mendahului pencabar parti berhaluan kanan anti-Islam dan anti Kesatuan Eropah (EU), Geert Wilders dalam pilihan raya hari ini, sekali gus mengundang rasa lega dalam kalangan pemimpin EU lain, demikian menurut pungutan suara selepas undian.

Parti VVD pimpinan Rutte dijangka memenangi 31 daripada 150 kerusi Parlimen, menurun berbanding 41 pada pilihan raya terakhir pada 2012.

Bagaimanapun ia masih mendahului Wilder yang terikat di tempat kedua bersama dua lagi pencabar masing-masing dengan 19 kerusi, menurut pungutan suara oleh penyiar kebangsaan NOS berdasarkan temu bual dengan pengundi.

“Nampaknya VVD akan menjadi parti terbesar di Belanda kali ketiga berturut-turut,” kata Rutte kepada penyokongnya selepas pilihan raya di The Hague.

Rutte yang menewaskan pencabar anti-Islam, anti-EU bermulut lantang, Geert Wilders sempat berbual dengan beberapa pemimpin Eropah, yang menghubunginya untuk mengucapkan tahniah kepada beliau.

Kadar keluar mengundi mencecah 81 peratus, jumlah tertinggi sepanjang tempoh 30 tahun pilihan raya yang menguji sama ada Belanda mahu menamatkan liberalisme sejak berdekad lama atau memilih nasionalis, anti-Islam dengan mengundi Wilders yang mahu membawa negara itu keluar dari EU. – Reuters

(BHONLINE)

[4796903]

Facebook Comments