Belia perlu utamakan integriti negara – WeMalaysia


WEMALAYSIA: Belia serta pelajar Malaysia di luar negara diminta sentiasa bersatu hati apabila berhadapan dengan cabaran melibatkan hubungan dua negara. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Belia serta pelajar Malaysia di luar negara diminta sentiasa bersatu hati apabila berhadapan dengan cabaran melibatkan hubungan dua negara khususnya berkaitan integriti.

Presiden WeMalaysia Australia, Muhammad Ali Halim Sirat berkata, ia berkaitan apa sahaja isu semasa termasuk kemelut hubungan diplomatik negara dengan Korea Utara.

“Walaupun kadangkala berbeza pendapat dan buah fikiran, apabila memberi reaksi terhadap isu antarabangsa terutama berkaitan negara, belia Malaysia harus bersatu hati dan sebulat suara dalam mempertahankan kedaulatan negara dengan berpegang prinsip pembinaan negara bangsa dan sayang kepada negara.

“Landasan yang kukuh perlu diterjemahkan oleh kerajaan bagi membina negara bangsa dan meneruskan acuan kegemilangan demi masa depan negara dengan sokongan padu golongan belia,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Selasa. BACA: Tunjuk protes terbuka kepada Korea Utara – WeMalaysia

BACA: Ada cubaan gugat kemakmuran pelajar Malaysia di luar negara – WeMalaysia

Jelasnya, pesanan itu disuarakan di dalam Program Secangkir Pertemuan pelajar baru dan pelajar sedia ada di The University of Queensland anjuran Halaqah Kebajikan Islam Mahasiswa (Hakim) dengan kerjasama WeMalaysia cawangan Queensland yang diadakan pada Ahad lepas.

Sebelum ini, Koordinator Sekretariat WeMalaysia Kuala Lumpur Mohd Asrol Md Jailani dilaporkan berkata, rakyat termasuk pelajar Malaysia di luar negara diminta menunjukkan protes terbuka kepada Kerajaan Korea Utara termasuk menyertai kempen-kempen di media sosial.

Jelasnya, ia tanda solidariti baki sembilan rakyat Malaysia yang tidak dibenarkan meninggalkan Korea Utara.

Dalam majlis yang sama, Presiden Hakim, Wan Ahmad Zikri Wan Sulaiman menyarankan pelajar Malaysia di luar negara sentiasa bersyukur dengan peluang yang diberikan kerajaan untuk menuntut ilmu di luar negara.

“Program Secangkir Pertemuan bukan sekadar majlis ramah mesra tetapi juga platform untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman apabila berdepan cabaran akademik.

“Perkongsian ilmu berkaitan cabaran akademik adalah satu yang sensitif untuk diperbincangkan, namun dengan sokongan daripada senior dan sahabat, ia adalah sesuatu yang amat digalakkan untuk diketengahkan demi penambahbaikan ke arah usaha pelajar yang cemerlang,” jelasnya.

Majlis itu turut diserikan dengan ucapan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Dr. Fauzan Rosli selain beberapa sesi memperkenal Malaysian Students Organisation (MSO).

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).

(Astro Awani)

[4796824]

Facebook Comments