Bazir duit bela pemain ‘lemau’


Melaka: Beberapa pemain tempatan dan import skuad Melaka United sah akan digugurkan berikutan rasa tidak puas hati pengurusan terhadap prestasi semasa Melaka dalam beberapa perlawanan terakhir.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Seri Idris Haron (gambar), namun beliau enggan menyatakan jumlah sebenar pemain yang akan digugurkan.

Idris berkata, keputusan itu dibuat berikutan kekecewaan pengurusan dengan prestasi semasa Melaka sepanjang saingan Liga Super dan Piala FA.

“Keputusan ini juga dibuat berdasarkan kekecewaan penyokong skuad Hang Tuah selepas pasukan negeri ini dibelasah teruk lawan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Jika tidak ada pemain digugurkan, itu bermakna pengurusan pula akan digugurkan kerana antara mereka, sudah pasti perlu bertanggungjawab (terhadap prestasi buruk pasukan),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri, di Seri Negeri, di sini, semalam.

Difahamkan setakat ini dua pemain tempatan sudah menerima surat amaran daripada MUSA kerana aksi kurang memberangsangkan, manakala beberapa pemain import dijangka diganti dengan muka baru.

Idris sebelum ini melahirkan rasa kecewa apabila Melaka sekadar menang dua kali, seri sekali dan empat kali kalah dalam saingan Liga Super setakat ini.

Semenara itu, mengulas mengenai isu bookie bola sepak membabitkan Melaka yang tular di media sosial, Idris berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak didapati terbabit dalam amalan rasuah itu.

“Kalau ada bookie dalam skuad, orang mengamalkan rasuah ini, mesti ‘dinyahkan’ daripada pengurusan. Kami juga akan lapor kepada pihak berkuasa supaya mereka ini dikenakan tindakan dan menjadi pengajaran kepada orang lain.

“Saya akan pastikan sesiapa yang ada agenda, salah guna kuasa dan rasuah dengan menjual permainan dikenakan tindakan undang-undang. Ini amaran keras daripada saya,” ujarnya.

(myMetro)

[4796708]

Facebook Comments