Tarikh baru undang resah


Shah Alam: Pertukaran tarikh baru perlawanan dengan Korea Utara bagi aksi pertama Kumpulan B Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 pada 8 Jun ini menimbulkan sedikit masalah buat skuad Harimau Malaysia.

Perkara itu diakui pengendali Datuk Ong Kim Swee yang terpaksa mempersiapkan pasukan dalam tempoh singkat berdepan Lubnan di Kuala Lumpur, enam hari selepas pertemuan dengan Korea Utara.

Apa yang diharapkan beliau venue perlawanan pertama yang pada awalnya dijadual berlangsung di Pyongyang dapat ditukar ke lokasi lebih dekat sekitar rantau Asia Tenggara.

“Kami tiada banyak pilihan bila AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) tetapkan tarikh 8 Jun, yang menimbulkan sedikit masalah dari segi perjalanan, jika kami bermain di Pyongyang atau China, sudah tentu ia akan mengambil masa yang panjang untuk kami pergi dan balik dan bermain semula di Kuala Lumpur kerana pada 13 Jun, kami akan menentang Lubnan.

“Kalau kami dapat bermain di Bangkok (Thailand), Laos atau Kemboja seperti yang dikatakan oleh AFC, ia akan memudahkan dari segi jarak perjalanan. Jika bermain di gelanggang berkecuali, pasukan tuan rumah yang akan tentukan jadi kami harus pergi,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pasukan semalam.

AFC semalam menukar tarikh perlawanan Korea Utara dengan Malaysia pada 28 Mac ini kepada 8 Jun susulan ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara ketika ini.

Badan induk bola sepak Asia itu mengarahkan Persatuan Bolasepak Korea Utara (PRKFA) memberi cadangan venue baru perlawanan sebelum 14 April ini.

Bagaimanapun jika hubungan antara kerajaan Korea Utara dan Malaysia kembali pulih sebelum 8 Mei, perlawanan boleh diadakan semula di Pyongyang.

Selain mengharapkan lokasi venue yang lebih dekat menentang Korea Utara, Kim Swee juga mahu anak buahnya diberikan sedikit ruang melakukan persiapan lebih rapi mengharungi dua perlawanan penting itu pada bulan Ramadan.

“Kami harap persediaan rapi dapat dilakukan kerana ini perlawanan penting menentang pasukan pilihan. Jika kami mendapat keputusan baik, ia akan memberi laluan lebih baik. Beraksi pada bulan puasa tiada masalah kerana pemain pernah beraksi sebelum ini menentang Timor Leste,” jelasnya.

Semalam, pasukan kebangsaan memulakan latihan di gelanggang rumput tiruan sebagai persediaan menghadapi Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Memorial Rizal, Manila pada 22 Mac ini.

(myMetro)

[4796691]

Facebook Comments