Saingan sengit rebut tempat


Kuala Lumpur: Meskipun mempamerkan aksi cemerlang pada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka minggu lalu, penyerang senior skuad hoki negara Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil (gambar) mengakui ia bukanlah jaminan untuknya terus menjadi pemain pilihan bagi menghadapi beberapa kejohanan utama selepas ini.

Jelas Tengku, persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan ketika ini begitu sengit, terutama sekali selepas beberapa pemain muda negara mempamer aksi cemerlang hingga mampu membantu Malaysia menjuarai saingan di Dhaka sekali gus menempah tiket ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

“Saya pasti saingan untuk berada dalam pasukan selepas ini akan menjadi lebih sengit.

“Jadi selepas ini terpulang kepada jurulatih (Stephen Van Huizen) sama ada saya masih layak untuk berada dalam pasukan atau tidak.

“Apapun saya tetap bersedia untuk dipanggil semula bagi menghadapi tugasan seterusnya selepas ini,” katanya.

Tengku kembali membuat penampilan bersama skuad negara selepas kali terakhir beraksi pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium dua tahun lalu.

Keputusan Stephen memilih pemain berpengalaman berusia 31 tahun itu nyata berbaloi apabila Tengku menjaringkan lima gol sekali gus muncul penjaring kedua terbanyak skuad negara selepas Shahril Saabah (7 gol).

Jelas Tengku, secara keseluruhan dia cukup berpuas hati dengan penampilannya di Dhaka selepas sekian lama menyepi.

“Pada awal saingan memang agak bergelut. Tapi selepas itu saya mula memperoleh rentak permainan di pentas antarabangsa.

“Paling penting saya dapat membantu pasukan mencapai objektif yang ditetapkan,” ujarnya.

(myMetro)

[4796690]

Facebook Comments