JLand ‘sporting’


Johor Bahru: Johor Land Berhad (JLand) berbesar hati untuk turut menjayakan Kejohanan Bowling Best! Harian Metro di Sahara Bowl & Cafe, Angsana Johor Bahru Mall dari 23 hingga 25 Mac ini.

Sehubungan itu, JLand menzahirkan komitmen menjayakan aktiviti sempena ulang tahun ke-26 akhbar ini dengan membuat tajaan RM30,000 sekali gus menjadi antara rakan penaja utama kejohanan secara ‘one-off’ itu.

Semalam berlangsung majlis penyerahan tajaan yang disampaikan Naib Presiden (Kewangan Kumpulan & Bisnes) JLand, Mariana Sidi kepada Ketua Biro Harian Metro Johor Rudy Fazrunisyam Samarudin di Kompleks Mutiara Johor Land, Bandar Dato Onn di sini.

Hadir sama, Naib Presiden (Perancang & Pembangunan Projek) JLand, Mohd Razif Abdul Rahim dan Naib Presiden (Tadbir Urus Kumpulan & Ekosistem Bisnes) JLand, Satira Omar.

Mariana berkata, JLand juga berbangga dapat mengambil bahagian sebagai penaja pada kejohanan itu yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“JLand sentiasa menyokong aktiviti sihat yang dijalankan pihak media khususnya Harian Metro bagi meningkatkan jalinan kerjasama antara kami dengan akhbar ini seterusnya menambah jaringan penyebaran maklumat.

“Kami juga yakin aktiviti dijalankan Harian Metro ini dapat merapatkan hubungan akhbar ini dengan pembaca setia yang sentiasa menyokong,” katanya.

Sepanjang kejohanan berlangsung, JLand turut mengambil kesempatan membuka gerai pameran di lokasi kejohanan bagi pameran hartanah JLand kepada peserta dan pengunjung Angsana Johor Bahru Mall.

Kejohanan Bowling Harian Metro kembali selepas lebih 10 tahun tidak dianjurkan sekali gus memberi peluang kepada peminat sukan itu untuk beraksi dan membawa pulang hadiah ditawarkan.

Penganjur menyasarkan 100 pasukan membabitkan 300 pemain dengan pusingan saringan diadakan pada Khamis dan Jumaat depan.

Hanya 10 pasukan teratas akan bertanding pada pusingan akhir pada 25 Mac ini dengan juara membawa pulang RM1,000, pingat dan hamper; naib juara (RM700, pingat dan hamper) dan ketiga (RM600, pingat dan hamper).

Pemenang keempat akan membawa pulang RM500, pingat dan hamper manakala pemenang kelima hingga ke-10 akan membawa pulang RM200, pingat dan hamper.

Selain kejohanan bowling di Sahara Bowl, satu konsert mini yang menampilkan barisan artis tempatan seperti Wani, Bandi Amuk, Siti Nordiana dan kumpulan Jumero turut diadakan pada hari terakhir kejohanan berkenaan.

(myMetro)

[4796679]

Facebook Comments