‘Lebih baik anjur Sukan Asia’


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad (gambar) menolak langkah untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2022 dan ia tidak patut dipertimbangkan.

Jelasnya, Malaysia sudah menjadi tuan rumah pada 1998 dan ia memadai bagi sejarah sukan negara.

“Bagi pandangan peribadi saya, adalah lebih baik kita mengemukakan tawaran untuk menganjurkan Sukan Asia. Tahap kebanyakan sukan pada temasya itu lebih tinggi berbanding Sukan Komanwel.

“Itu langkah yang baik untuk meningkatkan tahap sukan negara. Ia akan mencabar dan menguji kemampuan kita sebagai penganjur, persatuan sukan dan atlet,” katanya.

Beliau yang juga ahli Panel Penasihat Sukan (PPS) diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang menyifatkan Malaysia berupaya menganjurkan temasya pada 2022 selepas hak yang diberikan kepada Durban, Afrika Selatan ditarik balik.

“Apabila sudah menganjurkan Sukan Asia serta mempersiapkan atlet yang mampu bersaing, mungkin satu hari nanti kita boleh menjadi tuan rumah Sukan Olimpik,” jelasnya.

Bagaimanapun Malaysia perlu menunggu pada 2030 sekiranya mahu menganjurkan Sukan Asia dengan Palembang-Jakarta menjadi tuan rumah tahun depan disusuli Hangzhou, China (2022) dan Nagoya, Jepun (2026).

Malaysia belum pernah menganjurkan Sukan Asia sejak ia dipertandingkan pada 1951 serta pada 2010 tidak meneruskan hajat awal membida untuk edisi 2019 berikutan kos perbelanjaan mencecah RM1.6 bilion.

Sebelum ini, Malaysia hampir menjadi hos dua Sukan Asia namun tewas kepada Qatar (Sukan Asia 2006), manakala satu lagi peluang menjadi hos Sukan Asia 2010 yang diserahkan kepada Guangzhou, China selepas kerajaan turut menolak menganjurkannya berikutan kos yang tinggi.

(myMetro)

[4796667]

Facebook Comments