Harian Metro tempat ke-3


Petaling Jaya: Bagi meneruskan kesinambungan program tahunan bersama media, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menganjurkan Kejohanan Bowling PNS-Media 2017 di U-Bowl, One Utama di sini, minggu lalu.

Penganjuran memasuki tahun keempat itu bertujuan merapatkan hubungan dan menghargai sumbangan media dalam membantu menyampaikan maklumat terutama berkaitan program, produk serta perkhidmatan PNS kepada masyarakat.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki berkata, acara itu dilihat sebagai medium interaksi pihaknya bersama media selain mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak secara santai dan kasual.

“Peranan media menyalurkan maklumat mengenai sesebuah organisasi amat penting dan kedua-dua pihak memainkan peranan penting dalam menjaga hubungan kerjasama yang kekal berpanjangan.

“Penganjuran pertandingan seumpama ini secara tidak langsung dapat menggalakkan budaya hidup sihat dalam kalangan semua peserta,” katanya ketika merasmikan acara itu.

Sebanyak 22 pasukan media membabitkan media cetak dan elektronik menyertai pertandingan itu termasuk Harian Metro, Berita Harian dan TV3.

Selain itu, PNS menjemput wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan agensi berkaitan seperti Perbadanan Harta Intelek (MYIPO), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertanding bagi kategori pasukan luar.

Harian Metro yang diwakili Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Iskandar Shah Mohamed, Najib Rahman dan Syarifah Omar menduduki tangga ketiga pada kejohanan itu sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta piala iringan dan pingat.

Juara kejohanan itu diraih Astro Awani manakala naib juara dimenangi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

(myMetro)

[4796660]

Facebook Comments