Waspada Singapura


Kuala Lumpur: Pemain skuasy negara perlu berhati-hati dengan strategi yang digunakan musuh utama negara Singapura pada Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Skuasy menyasarkan menyapu bersih semua tujuh emas yang dipertandingkan namun pengurus pasukan Nik Razeen Adam menegaskan negara jiran itu mampu menjadi penghalang utama.

Selain mempunyai beberapa pemain yang handal seperti Samuel Kang, Vivian Rhamanan, pemain negara perlu berwaspada dengan pendekatan Singapura yang mengambil bekas pengarah kejurulatihan negara Allan Soyza sebagai jurulatih.

“Allan pernah bersama skuad negara. Beliau memang tahu corak dan strategi pemain negara.

“Tapi kami akan berjuang untuk mendapatkan semua tujuh emas,” katanya pada sidang media Program Kita Juara 2017 di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Justeru beberapa persediaan dirangka buat pemain negara termasuk menjalani latihan di luar negara selain menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa.

Bagaimanapun senarai rasmi pemain yang akan mewakili negara hanya akan diumumkan oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Julai ini.

Dua tahun lalu ketika di Singapura, pemain skuasy negara meraih empat emas dan empat perak dengan Singapura berjaya mencuri satu emas dalam acara beregu lelaki.

Mempunyai barisan pemain yang mempunyai nama hebat di pentas dunia seperti juara remaja dunia Ng Eain Yow, S Sivasangari dan Rachel Arnold yang beraksi pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia, pemain negara dijangka tidak berdepan masalah menyapu bersih semua tujuh emas yang dipertandingkan.

(myMetro)

[4796640]

Facebook Comments