Tunggu masa


Baghdad: Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi berkata, usaha kerajaannya menawan semula bandar Mosul daripada militan Daish kini diperingkat akhir.

Bercakap pada sidang media lewat kelmarin, Haider memberi amaran kepada kumpulan berkenaan supaya menyerah diri atau dibunuh.

Sejak melancarkan serangan pada Oktober lalu, tentera kerajaan berjaya mengusir Daish dari timur Mosul dan kini semakin mara di barat bandar itu.

Bandar yang terletak di sungai Tigris itu adalah kubu kuat terakhir kumpulan militan berkenaan di Iraq.

Daish mengisytiharkan pemerintahan khalifah di negara itu serta Syria pada 2014.

“Perang kini di peringkat akhir. Daish semakin hari semakin terkepung dan bakal dihapuskan beberapa hari lagi,” katanya.

Dia turut berikrar akan bertindak adil terhadap anggota keluarga militan itu.

“Kami akan melindungi orang awam termasuk keluarga anggota Daish. Bagaimanapun, militan itu akan diadili dan dihukum jika menyerah diri.

“Mereka kini terkepung dan pasti dibunuh jika tidak menyerah diri,” katanya.

Sementara itu, tentera Iraq semakin menghampiri Masjid Besar Mosul semalam selepas menawan jambatan menuju ke kota lama yang dikuasai Daish.

“Tentera kami semakin mara ke arah Masjid Besar. Kami hanya kira-kira 800 meter dari situ,” kata seorang jurucakap polis Iraq.

Kejayaan menawan masjid itu akan menjadi kemenangan simbolik yang besar, tetapi mungkin mengambil masa lama kerana ia dipertahankan habis-habisan oleh militan Daish.

Sementara itu, sehingga semalam, hampir 100,000 penduduk di barat Mosul melarikan diri dari kawasan berkenaan ketika pertempuran semakin sengit.

(myMetro)

[4796599]

Facebook Comments