Turki ancam batal perjanjian pelarian dengan EU


PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan. – Foto AP

ISTANBUL: Turki semalam mengancam untuk membatalkan perjanjian kritikal membabitkan sekatan kemasukan pendatang ke Kesatuan Eropah (EU) ketika perang mulut antara Ankara dan blok itu semakin memuncak.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, “semangat fasisme” semakin berleluasa di Eropah, tuduhan terbaru dalam siri serangan lisan yang menyebabkan ahli politik EU terkejut.

Turki dan EU terjerumus dalam krisis hangat itu selepas anggota utama EU, Belanda dan Jerman menyekat menteri Turki dari mengadakan perhimpunan bagi menyokong perubahan perlembagaan memperluaskan kuasa Erdogan menerusi pungutan suara pada 16 April.

Erdogan berulang kali menuduh kedua-dua negara itu berkelakuan seperti “Nazi”, mengundang maklum balas tegas pemimpin EU bahawa Turki sudah “tersasar jauh dari realiti” dan tidak sesuai dengan cita-citanya untuk menyertai blok itu.

Erdogan terus membalas dengan retorik lebih panas apabila membandingkan layanan ke atas bukan Eropah di Eropah seperti Yahudi dalam Perang Dunia II sambil mendakwa wujud kebangkitan dalam kalangan ahli politik populis sayap kanan di benua itu.

Di bawah perjanjian pelarian asing pada Mac 2016, Turki bersetuju mengetatkan sempadan maritim dan membanteras rangkaian penyeludupan manusia yang banyak membantu pendatang melakukan pelayaran berisiko dari Aegean ke Greece, titik permulaan perjalanan ke utara Eropah. – AFP

(BHONLINE)

[4796588]

Facebook Comments