Penggodam Korea Utara dalang serangan di 31 negara


BOSTON: Sebuah kumpulan penggodam Korea Utara dikenali sebagai Lazarus dipercayai menjadi dalang di sebalik kempen serangan siber yang menyasarkan organisasi di 31 buah negara.

Firma keselamatan siber Symantec Corp (Symantec) yang melaporkannya, berkata ia susulan serangan berprofil tinggi ke atas Bangladesh Bank, Sony dan Korea Selatan, baru-baru ini.

Symantec dalam satu blog berkata, penyelidiknya menemui empat bukti digital yang menjurus kepada kumpulan Lazarus menjadi dalang kempen yang bertujuan menjangkiti mangsa dengan perisian ‘loader’ untuk melakukan serangan dengan memasang program jahat lain.

“Kami ada sebab munasabah untuk pasti Lazarus bertanggungjawab,” kata penyelidik Symantec, Eric Chien dalam satu temu bual.

Bagaimanapun, Kerajaan Korea Utara menafikan dakwaan negaranya terbabit dalam serangan seperti yang didakwa oleh pegawai di Washington dan Seoul serta syarikat keselamatan.

Sementara itu, wakil Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut.

Symantec tidak mendedahkan organisasi yang disasarkan dan berkata pihaknya tidak pasti jika ia membabitkan kecurian wang.

Namun, Symantec berkata, dakwaan itu adalah penting kerana kumpulan itu menggunakan pendekatan sasaran yang lebih canggih berbanding sebelumnya. – REUTERS

(BHONLINE)

[4796530]

Facebook Comments