‘Raja pecut’ bakal milik Malaysia


Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH

PELUANG Malaysia memenangi pingat emas 100 meter (m) lelaki, sekali gus merampas semula gelaran ‘raja pecut’ Asia Tenggara pada Sukan SEA di Kuala Lumpur bermula 19 hingga 31 Ogos depan di­lihat semakin cerah.

Sandaran pastinya diletakkan atas bahu pemegang rekod 100m kebangsaan iaitu Khairul Hafiz Jantan, 18, dengan catatan masa menakjubkan 10.18 saat (s).

Bagaimanapun, tumpuan kini terarah kepada kemampuan jaguh 400m negara, Muhammad Azam Masri selepas dia muncul pelari kedua terpantas Malaysia untuk acara 100m dengan catatan masa 10.22s dilakukan di Pretoria, Afrika Selatan baru-baru ini.

Catatan 10.22s itu sebenarnya sudah mengatasi masa yang direkodkan pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 dari Filipina, Eric Cray iaitu 10.25s.

Jika diukur pencapaian semasa itu, pingat emas dan perak 100m sudah berada dalam genggaman kontinjen olahraga pada temasya di Kuala Lumpur nanti.

Bagaimanapun jurulatih peri­badi Azam, Mohd. Poad Kassim menegaskan, terlalu awal untuk mengubah anak didiknya itu ke acara 100m buat masa ini.

Menurutnya, penyertaan pelari berusia 21 tahun itu dalam 100m baru-baru ini merupakan salah satu latihan untuk memperbaiki teknik larian dalam acara yang sebenar iaitu 400m.

“Berdasarkan pengalaman saya, tidak mustahil pelari 400m akan mencatatkan masa lebih baik daripada ‘budak-budak’ acara 100m. Kami akan sentiasa pantau prestasi masa latihan dan keselesaan dia berlari 100m atau 400m.

“Masalah Azam ialah dia lambat panas dalam acara 400m. Oleh sebab itu, saya cuba ubah cara dia memanaskan badan (menyertai 100m) supaya kami dapat mengesan masa ujian tersebut,” katanya.

Sementara itu, Azam mengakui dia langsung tidak menjangkakan mampu mencatatkan masa 10.22s kerana sasaran sebenarnya ialah cuma mengatasi 10.50s.

“Kali terakhir saya lari dalam acara 100m di Sabah dua tahun lepas. Ketika itu saya mencatatkan 10.65s. Memang saya terperanjat dan masih tidak percaya saya dapat melakukan 10.22s.

“Semangat saya semakin membara walaupun sebenarnya saya hanya berlari suka-suka. Saya percaya catatan 400m saya akan meningkat selepas ini,” jelasnya.

(Kosmo)

[4795861]

Facebook Comments